KUANTAN – Berpendirian tidak mahu terikat membayar hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), seorang anak pemandu lori tekad belajar bersungguh-sungguh
Ashviny Murugan, 25, berazam apabila tamat pengajian dan mendapat pekerjaan kelak, beliau tidak akan dibebani hutang sebaliknya wang itu boleh disumbangkan kepada orang tua sebagai membalas budi.
Usahanya ternyata berbaloi.
Hari ini Ashviny dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Farmaseutikal) dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP).
Ashviny bersyukur membesar daripada keluarga sederhana namun tekad mengubah nasib sendiri dengan belajar bersungguh-sungguh walaupun ditawarkan bidang pengajian bukan pilihan.
Menurutnya, beliau telah menghadapi pelbagai cabaran semasa belajar di universiti tetapi tidak pernah berputus asa dan terus memotivasikan diri untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang.
“Kalau saya tidak belajar bersungguh-sungguh, saya perlu membayar hutang pendidikan, jadi sekarang apabila cemerlang, pinjaman kini percuma.
“Tiada yang mustahil dalam hidup kita. Jika kita mencuba kita boleh menjadikan semua yang mustahil menjadi mungkin. Saya berprinsip what you think is who you will become menjadikan saya sentiasa positif mengharungi cabaran untuk berjaya,” katanya ketika ditemui di Dewan Jubli Perak Kuantan di sini hari ini.
Kecemerlangan Ashviny terserlah apabila berjaya memperoleh anugerah dekan bagi enam semester berturut-turut dan berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama dengan PNGK 3.70.
Anak pasangan Murugan Vasu, 46, yang bekerja sebagai pemandu lori di KSG Enterprise Sdn. Bhd. dan Maruthamah, 45, yang bekerja sebagai pekerja am di Sime Darby Plantation Sdn. Bhd itu juga cemerlang dalam bidang kurikulum.
Kini anak sulung dari tiga beradik berjaya mengharumkan nama keluarga apabila terus mendapat tawaran kerja sebagai jurutera di Syarikat Novugen Pharma (M) Sdn. Bhd selepas tamat pengajian. – MalaysiaGazette