Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hasim berucap pada Majlis Pelancaran TVET-Tahfiz Malaysia di Auditorium CIAST, Shah Alam. Foto MUHD NA’IM, 16 MAC 2022.

SHAH ALAM – Tindakan bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang mengumumkan pendiriannya untuk keluar daripada parti berkuat-kuasa 14 Mac lalu tidak pernah melemahkan parti Islam itu.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, sejarah Pas menyaksikan ramai pimpinan bertindak meninggalkan parti itu tidak menjejaskan mereka bahkan berupa mentadbir beberapa negeri ketika ini.

“Tiada masalah, ini perkara biasa, masalah keluar masuk parti ini, Pas ada banyak pengalaman keluar parti, di zaman Datuk Asri, keluar dari Pas, tapi Pas terus kukuh.

“Hasan Adli dulu kalau kita tengok zaman Ustaz Nakhaie, Pas tiada masalah, lepas itu yang terbaru 18 orang telah menyertai Amanah, sepatutnya itu melemahkan Pas secara keseluruhan.

“Tetapi Pas bangun dan selepas PRU14, tiga negeri kita perintah, walaupun kita diuji dengan momokkan bahawa keluarnya golongan 18 itu menyebabkan Pas lumpuh dan hilang dari bumi politik, tapi tidak,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus mengumumkan pendiriannya keluar daripada Pas, berkuat-kuasa Isnin lalu.

Tindakan itu selari Fasal 15(1)(a) Perlembagaan PAS iaitu keberhentian ahli dengan permintaan sendiri dan ia sudah dimaklumkan kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam pertemuan di bangunan Parlimen pada Isnin lalu.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas itu dan menjadi ahli selama 33 tahun itu bagaimanapun enggan mendedahkan alasan berhubung pendiriannya itu, selain menegaskan beliau akan menjadi Ahli Parlimen bebas.

Dalam pada itu, Awang yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia mengingatkan Khairuddin tentang baiah yang dilafazkannya ketika menjadi ahli Pas dan mewakili parti itu dalam PRU14 lalu.

“Dalam Pas ini ada baiah, kalau dia rasa baiah ini besar dan dia dipertanggungjawabkan, dia kena fikir sendiri berdasarkan ilmu masing-masing.

“Saya tak nak cerita sebab saya Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, saya tahu apa yang berlaku kepada Khairuddin ini.

“Saya tak nak ungkit, saya tak nak sentuh perkara melibatkan dia mengambil keputusan hingga dia memohon untuk (keluar), dia secara automatik bila dia mohon keluar Pas, dia terbatal (keahlian) tak payah buat keputusan apa lagi.

“Benda ini (baiah), itu dia dengan Allah Taala, kalau dia nak langgar, langgar lah, kita tak boleh buat apa,” katanya. – MalaysiaGazette