Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Malas keluar mengundi merupakan salah satu faktor peratusan undi rendah rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Mas Ermieyati Samsuddin berkata, pendaftaran secara automatik juga menjadi penyebab kepada kemerosotan keluar mengundi kerana terdapat pengundi yang sememangnya tidak mahu mengundi.

“Orang malas nak keluar mengundi dan mereka yang didaftarkan secara automatik sebelum ini mereka tidak ada rasa nak keluar mengundi tapi tiba-tiba apabila mereka dimasukkan sebagai pengundi dan mereka tidak keluar mengundi sebab tidak berhasrat untuk daftar sebagai pengundi.

“Itu salah satu daripada punca mengapa jumlah mereka yang tidak keluar mengundi itu tinggi,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh yang ingin mengetahui mengenai peratusan mengundi yang sangat rendah pada PRN Johor, Sabtu lalu.

Pada Ahad lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Ahad memaklumkan PRN Johor mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 54.92 peratus yang merupakan peratusan terendah dalam PRN.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, peratusan itu merangkumi 1,426,573 orang daripada jumlah keseluruhan pengundi yang layak mengundi di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkat,a peratusan terendah dalam PRN yang diadakan sebelum ini merupakan isyarat yang tidak baik kepada negara.

“Ini amat tidak baik dalam sistem demokrasi dalam negara kita, bila ramai yang tidak mengundi maka keputusan ia sukar untuk dijangka,” katanya lagi.

Pada PRN Sabah yang diadakan 26 September 2020, peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 66.61 peratus sementara PRN Melaka pula merekodkan 65.85 peratus manakala PRN Sarawak mencatatkan 60.67 peratus. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.