KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menasihatkan naib presiden partinya, Rafizi Ramli agar bersikap jujur selepas mengumumkan mahu aktif dalam politik semula.
Malah bekas Ahli Parlimen Pandan itu juga turut dinasihatkan agar berhenti bermain politik murahan.
“Sebagai orang parti, dia sewajarnya lebih beradab sejurus kembali ke gelanggang politik dan sentiasa berhati-hati dalam setiap pertuturannya agar tidak mengguris hati semua anggota PKR.
“Harus diingat, PKR merupakan sebuah parti yang cukup dinamik kerana ianya merangkumi suara seluruh lapisan masyarakat dan setiap keputusan parti perlu diterima secara berjemaah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Farhash berkata demikian merujuk kepada Rafizi yang memutuskan untuk kembali menyertai politik dan mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu akan datang.
Dalam kenyataan di Facebook, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, politik progresif pelbagai bangsa kini berada dalam bahaya jika PKR dan Pakatan Harapan (PH) terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar.
Mengulas lanjut, Farhash berkata, kenyataan Rafizi yang memilih untuk tidak bertanding jawatan Presiden juga dianggap biadap terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kenyataan bekas Ahli Parlimen Pandan itu kian menterjemahkan agenda tersembunyi dengan berdolak-berdalih dari menyatakan cita-cita sebenarnya.
“Rafizi yang banyak berkias dalam kenyataannya dengan menyindir Presiden parti sebagai lemah dan menyifatkan percutiannya dari aktif dalam PKR sebelum ini adalah kerana tidak bersetuju dengan keputusan dibuat pimpinan.
“Maka dengan itu, ramai pihak merasakan bahawa Rafizi tidak mampu untuk menerima keputusan yang dibuat secara kolektif oleh pimpinan dan hanya dengan diberi kuasa mutlak sebagai Presiden akan memuaskan hatinya,” kata Farhash lagi.
Pada Disember 2019, Rafizi mengumumkan bersara daripada politik kerana mahu memberi tumpuan kepada usaha mendalami ilmu pengetahuan berkaitan teknologi terkini.
Beliau sebelum itu dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 November 2019 daripada sabitan dan hukuman penjara 30 bulan atas kesalahan mendedahkan data bank berkaitan National Feedlot Corporation. – MalaysiaGazette