Petugas kesihatan memberi suntikan dos penggalak kepada penerima ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette Foto AMIRUL SHAUFIQ 24. NOVEMBER 2021. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 15,357,069 individu dewasa atau 65.3 peratus daripada populasi kumpulan itu di negara ini sudah menerima dos penggalak Covid-19 setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 22,937,707 atau 97.5 peratus daripada populasi sama telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,213,875 atau 98.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, seramai 1,197,667 individu atau 33.7 peratus kumpulan itu menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,839,254 individu atau 91.3 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,938,900 atau 94.5 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Vaksinasi harian semalam menyaksikan sebanyak 56,585 dos diberikan meliputi 17,939 dos pertama, 1,728 dos kedua dan 36,918 dos penggalak.

Ia menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 68,275,177.

Sementara itu, portal GitHub Kementerian Kesihatan menyatakan, sebanyak 95 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Selangor tertinggi iaitu 21 kes, diikuti Johor (16), Perak (14), Kedah (10), Pulau Pinang (lapan) dan Sabah (lima).

Selain itu, Melaka, Pahang dan Perlis masing-masing melaporkan empat kes, Negeri Sembilan dan Sarawak masing-masing tiga kes, Kelantan (dua) manakala Terengganu (satu). – MalaysiaGazette