Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hasim berucap pada Majlis Pelancaran TVET-Tahfiz Malaysia di Auditorium CIAST, Shah Alam. Foto MUHD NA’IM, 16 MAC 2022.

SHAH ALAM – Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memperkenalkan model latihan Tahfiz-TVET dalam masa terdekat.

Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata, ia merupakan satu inisiatif dalam membentuk laluan kerjaya bagi pelajar tahfiz negara serta meningkatkan kebolehpasaran graduan tahfiz dalam pelbagai bidang TVET.

“Untuk memastikan lepasan pelajar tahfiz mempunyai hala tuju lebih jelas selepas menamatkan pengajian, laluan kerjaya dalam bidang TVET perlu diperkemas agar mereka dapat menikmati peluang sama dengan pelajar pendidikan arus perdana.

“Kolaborasi antara institusi tahfiz dan institusi TVET adalah salah satu mekanisme yang dilihat selari dan menyokong hasrat kerajaan untuk mencapai matlamat ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hasim berucap pada Majlis Pelancaran TVET-Tahfiz Malaysia di Auditorium CIAST, Shah Alam. Foto MUHD NA’IM, 16 MAC 2022.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pelancaran Tahfiz-TVET Malaysia di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), di sini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KSM, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Dalam pada itu, Awang berkata, program Tahfiz-TVET ini akan melibatkan semua institusi tahfiz di negara, sama ada yang beroperasi secara persendirian mahupun di bawah kelolaan kerajaan.

“Tahfiz-TVET dalam negara kita ini banyak, tapi tiada satu pengurusan secara formal dan sekarang kita sedang bergerak ke arah itu untuk menjadikan pusat tahfiz sedia ada sebagai formal.

“Pusat tahfiz ini boleh teruskan program yang mereka buat selama ini. Sebelum ini tiada pengawalan khusus, kita tak mahu satu pengurusan yang boleh beri imej buruk kepada Islam.

“Kita akan melihat dari segi keselamatan dan kesihatan seperti mana pengajian-pengajian akademik lain yang tersusun bangunan dan sebagainya,” katanya.

Katanya lagi, pengenalan program seumpama itu sebagai salah satu kaedah untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja yang dikosongkan warga asing sebelum ini.

“Tahfiz-TVET ini salah satu kaedah untuk mengurangkan masalah kita kekurangan pekerja selepas ini, kebetulan pula ketika ini permintaan tenaga kerja semakin bertambah di negara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast