Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR –  Jabatan Kimia Malaysia (JKM) mengesahkan bahawa tiada DNA babi dikesan di dalam sampel gegelang sotong seperti didakwa dalam laman media sosial.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sampel-sampel daripada produk terbabit telah dihantar kepada JKM untuk tujuan mengenalpasti sama ada produk terbabit mengandungi DNA babi atau sebaliknya.

“Hasil pemeriksaan dan siasatan dijalankan, beberapa produk ditemukan dan pihak KPDNHEP bertindak dengan menyita kesemua produk terbabit bersama beberapa dokumen perniagaan lain untuk siasatan lanjut”, kata dalam kenyataan, hari ini.

Menerusi satu tangkap layar yang ditularkan oleh seorang pengguna yang mendakwa bahawa sotong ring yang mengandungi rektum babi itu ditemuinya di sebuah premis di Perlis.

Tambah beiau, bertindak ke atas aduan yang tular itu, Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menjalankan pemeriksaan dan siasatan ke atas beberapa premis di peringkat peruncit, pemborong, pengedar dan pengimport produk terbabit di sekitar Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Johor Bharu.

Berikutan itu, beliau menasihati pengguna agar berhati-hati dalam menyebarkan maklumat-maklumat terutama dalam media sosial termasuklah isu berkaitan halal kerana ia boleh mendatangkan kegusaran kepada orang ramai.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat dinasihatkan supaya
membuat aduan mengikut saluran yang betul berserta maklumat yang lengkap kepada pihak berwibawa termasuk KPDNHEP melalui saluran aduan berikut,” ujar beliau. – MalaysiaGazette