Pemilik Tanah Aina Fareena Cafe dan Restoran , Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil bercakap kepada media mengenai punca pencemaran Sungai Kenui di Lebuhraya Karak, Lentang, Bentong, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Tiga pertuduhan terhadap Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil membuktikan keraguan yang ditimbulkan Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) pada tahun lalu berasas.

Presiden PSAP, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, ketiga-tiga pertuduhan itu membuktikan bahawa pihaknya tidak membuat sebarang tuduhan liar terhadap Shariffa Sabrina.

“Ekoran pertuduhan itu, ia mengesahkan apa yang dipersoalkan oleh saya dan PSAP pada 12 Jun 2021 bukanlah suatu tuduhan liar semata-mata.

“Biarlah kes itu kini diadili oleh pihak mahkamah.

“Saya dan PSAP tiada niat buruk ataupun jahat sebaliknya hanya membangkitkan persoalan dan aduan yang diterima oleh PSAP,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Shariffa Sabrina mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Raub atas tiga pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran, tahun lalu.

Shariffa Sabrina, 60 didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2 petang, 10 dan 11 Jun 2021 dengan menduduki tanah di Lot 26148, GM4135 di Mukim Bentong; Lot 1053, PM0053 Mukim Ulu Dong dan Lot 10061, GM1572 Mukim Tras, kedua-duanya di Raub tanpa kebenaran yang sah.

Tanah terlibat buat masa ini didakwa dijadikan resort dan tempat perniagaan, iaitu Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant, Tanah Aina Fahad Glamping Resort dan Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Eco Resort.

Haslihelmy DM Zulhasli

Pada 12 Jun tahun lalu, Haslihelmy dan PSAP mendesak kerajaan negeri Pahang supaya segera menyiasat tentang sebuah resort tepi sungai yang dibuka di Raub.

Pihaknya membangkitkan perkara itu ekoran terdapat keraguan tentang operasi resort berkenaan terutama apabila ia dibuka berdekatan dengan sungai di Raub.

“Adakah wujud pelanggaran syarat-syarat tanah, pencerobohan tanah milik kerajaan atau lain-lain kesalahan termasuk membabitkan alam sekitar?

“Atas faktor itu, pada waktu itu saya dan PSAP berpandangan ia perlu disiasat oleh pihak berwajib termasuk kerajaan negeri Pahang kerana tidak adil individu berkenaan boleh membuka resort itu jika ada kesalahan dilakukan.

“Jika wujud kesalahan, tidak kiralah siapa pun individu berkenaan, dia perlu disiasat dan diambil tindakan berdasarkan kepada undang-undang sedia ada,” soal Haslihelmy.

Menurut kertas pertuduhan pertama, tertuduh yang juga Pengasas Rangkaian Tanah Aina Resort dan Restoran didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 26148, GM4135 Mukim Bentong iaitu kawasan Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant di Bentong pada pukul 2 petang 11 Jun 2021.

Pertuduhan kedua pula tertuduh didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 1053, PM0053 Mukim Ulu Dong iaitu kawasan Tanah Aina Fahad Glamping Resort di Raub, Pahang pada pukul 2 petang 10 Jun 2021.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 10061, GM1572 Mukim Tras iaitu kawasan yang ketika ini didiami Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Eco Resort di Raub, Pahang.

Untuk rekod, Shariffa Sabrina dituduh mengikut Seksyen 425 (1)(a) Kanun Tanah Negara 1965 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 425 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette