KUALA LUMPUR – Selepas empat tahun, pelakon, Vanidah Imran, 48, berjaya menamatkan pengajian Sarjana Seni Persembahan (Drama).
Ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu menjadi seorang daripada penerima ijazah daripada lebih 7,682 pelajar yang menamatkan pengajian pada majlis konvokesyen ke-61, Universiti Malaya berlangsung Sabtu lalu di Dewan Tunku Canselor universiti berkenaan.
Ibu kepada Mikail Aimran dan Maryam Rashika itu menggenggam sarjana dan menyarung jubah konvokesyen pada sidang ke-15 istiadat berkenaan yang berlangsung sejak 5 hingga 13 Mac lalu.
Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20 ini terlebih dahulu bergelar graduan ijazah sarjana muda Pengajian Bahasa Inggeris pada tahun 2015 di Universiti Terbuka Malaysia (OUM).
Kata bintang filem Red Kebaya itu, perjalanan empat tahun bagi melengkapkan tempoh pengajian itu bukan sesuatu yang mudah.
Apatah lagi perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu, pensyarah di Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM), tuntutan seni dan belajar pada masa sama.
“Pergelutan itu memang bukan calang-calang. Ia tak mudah langsung tetapi saya bersyukur kerana dirahmati. Saya memiliki kawan yang sama-sama buat sarjana termasuk Hasif Roslan dan Mohamad Shukri Mohd Tahir.
“Kami bertiga berjanji, walau apa jua cabaran akan menamatkan pengajian sarjana ini. Kami saling memberi motivasi dan membakar semangat antara satu sama lain.
“Saya juga beruntung kerana tak pernah putus sokongan daripada kawan lain seperti Prof Madya Aminah Rhapor, penyelia (Dr Marlenny Deenerwan), keluarga dan anak,” katanya.
Vanidah berkata, dua anaknya sudah memahami rentak dan cara kehidupan.
“Anak saya tahu bila ibu mereka perlu lunaskan itu dan ini. Contohnya kalau saya kena mengadap tesis, tarikh akhir serahan tugasan dan sesi virtual. Tambah pula berdepan fasa genting di era pandemik Covid-19.
“Kalau saya tak sempat masak dan sediakan makanan, mereka pandai-pandai buat makan sendiri atau tempah dari luar,” katanya.
Vanidah pernah mengakui sebelum ini betapa ruginya tidak menyambung pengajian ketika masih muda.
“Apabila belajar di usia melewati angka empat siri dengan tuntutan tanggungjawab serta komitmen sebagai ibu dan anak, ia bukanlah fasa mudah.
“Berbanding masa muda, kita kurang bebanan. Tapi saya terima segala-galanya dengan lapang dada. Menyambung pengajian ketika ada anak kecil dan keluarga itu lebih buat saya jadi kuat.
“Namun sebanyak mana tekanan, tanggungjawab mahupun suntikan motivasi atau nasihat daripada orang lain, pada akhirnya kita yang mengharungi ‘battle’. Nak buat terbaik atau sebaliknya terserah kepada diri sendiri,” katanya.
Vanidah juga beruntung kerana faktor motivasi lain diterimanya datang daripada ayah tercinta.
Bapanya selama ini sebenarnya seakan tidak gemar melihat diri beliau memilih jalan sebagai anak seni. Bagi bapanya, kerjaya seni dilihat tidak mampu menjamin masa depan dan berharap suatu hari nanti Vanidah akan membuat keputusan atau benda lain.
“Bapa tak pernah jemu dan berhenti meminta saya sambung belajar. Kata-katanya seperti sampai bila nak kerja berlakon balik lewat pagi terus berbekas. Saya bersyukur Tuhan gerakkan hati untuk saya jadi realistik sekali gus sambung belajar.
“Orang selalu kata buat sesuatu harus ambil kira nasihat ibu bapa. Ternyata apa yang bapa saya tekankan selama ini ada keberkatannya. Saya tak pernah menyangka akan dapat tawaran masuk dunia akademik termasuk bergelar pensyarah.
“Itu semua antara hikmah yang dihamparkan apabila saya mula membuat keputusan besar dalam hidup untuk mengutamakan sisi akademik selain mengimbangi kehidupan hakiki. Paling penting bapa yang tidak menentu tahap kesihatannya masih berpeluang menyaksikan kejayaan ini,” katanya.
Menghampiri tiga dekad bergelar anak seni, Vanidah optimis keputusan menyambung belajar juga didorongi pelbagai faktor termasuk termasuk realiti pentas hiburan itu sendiri yang masih goyah tanpa jaminan konkrit.
“Pentas seni di Malaysia bukan industri yang stabil selagi kita tak ada undang-undang untuk melindungi pemainnya. Ketika itulah saya terdetik memilih pilihan lain (sambung belajar) untuk merubah kehidupan dan buat keputusan lebih baik.
“Saya boleh terus merungut mengenai kerapuhan gelanggang seni, tapi ia seolah-olah tidak membawa pengakhiran bermakna. Sampai bila pun nak merungut ibarat ia takkan habis. Saya kena buat sesuatu termasuklah menyambung pengajian sarjana selepas menggenggam ijazah.
“Ia keputusan untuk masa depan saya dan anak. Saya harap ia juga dapat jadi contoh dan motivasi untuk anak ke depan nanti,” katanya.
Sekalipun akur dengan resam turun naik dunia seni, minat dan kecintaannya menghidupkan karakter lakonan tak pernah terpadam.
“Saya nikmati apa yang dilakukan selama ini dengan penuh rasa. Seperti mana saya cabar diri untuk sambung belajar selain mengajar, lakonan juga sudah sebati. Saya tak cakap tidak suka berlakon, namun industri itu sendiri sejak jejak bermula tahun 1993 sampai sekarang masih ada sisi ‘hitam’nya.
“Anak seni masih bergelut tanya hak atau perkara sama. Namun ibarat tiada siapa ambil peduli. Malah saya dengar daripada pelakon senior pun yang berjuang sekian lama, ia tak memberi apa-apa justifikasi mahupun perubahan. Akhirnya terpaksa menelan semua itu seperti tiada apa-apa berlaku.
“Sebanyak mana pun sayang dan cinta saya terhadap dunia seni, ada titik anjakan untuk saya buat sesuatu sebagai pilihan iaitu dengan mengutamakan pendidikan untuk perubahan kehidupan dan masa depan saya serta anak,” katanya yang bersemangat berkongsi ilmu dan pengalaman kepada generasi muda (pelajar).
Katanya lagi, kejayaan menamatkan pengajian ini juga lebih kepada kepuasan diri.
“Saya tak cuba buktikan apa-apa atau kepada sesiapa pun. Saya puas kerana suka belajar benda baru. Matlamat diri sendiri pun bertitik tolak kepada apa yang mahu dicapai dengan mencabar diri keluar dari zon selesa.
“Anak seni tak kira di depan atau belakang kamera juga sebenarnya ada yang mempunyai tahap pendidikan baik. Tapi sering dilihat seperti tin kosong. Macam ketika terbabit dengan penggambaran drama Kudeta (versi drama untuk filem Daulat) ada antara kru seperti pasukan tatarias sebenarnya berpelajaran tinggi,” katanya.
Tambah Vanidah, Ameen Mustajab yang juga ketua tatarias bagi drama itu (Kudeta) terbitan Laguna Pictures sebenarnya pernah menjadi akauntan di Jabatan Akauntan Negara.
“Ameen sendiri pernah skor A untuk subjek matematik tambahan. Pembantu jurusolek drama itu ada antara mereka memiliki ijazah senibina dan kejuruteraan sivil. Begitu juga di bahagian menjaga ‘wadrobe’ ada yang menggenggam ijazah kejuruteraan elektrik, perniagaan serta kewangan.
“Namun hakikatnya ramai berfikir orang kreatif dalam industri seni ini tak berpelajaran tinggi terutamanya pekerja belakang tabir. Yang mereka fikir, rasa atau nampak semuanya negatif tanpa ada sekelumit rasa mahu bertanya.
“Saya harap janganlah memandang sebelah mata dengan pukul rata. Cuma ada yang belajar pandai memilih untuk masuk ke industri seni. Sebenarnya anak seni ini lagi sensitif, penuh rasa empati, dan memahami orang lain.
“Tak dilupa, masa di penggambaran filem Imam pun saya berpeluang mengenali kru yang ada sarjana pengajian Islamik dan bakal sambung peringkat Doktor Falsafah. Malah ada mempunyai lulusan Universiti Al-Azhar di Egypt, Mesir,” katanya. – MalaysiaGazette