Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat bersidang kepada seluruh perwakilan dan pemerhati Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang bermula hari ini.

Presiden UMNO itu mahu perwakilan manfaat serta terjemahkan parti sebagai sebuah perikatan, pakatan dan pejuang sebenar agar diperlihatkan kepada seluruh nusa bangsa.

“Setinggi-tinggi rasa syukur Alhamdulillah kehadrat Allah, sehingga ke saat ini UMNO masih gah melayari perjuangan agama, bangsa dan tanah air walau apa musuh naratifkan selepas 9 Mei 2018.

“Pimpinan, ahli serta penyokong nan setia terus bersama mengharungi ranjau dan onak duri tanpa gentar, tanpa kesal walau begitu ganas mereka diasak dan digasak.

“Kerana kita yakin dan kita pasti UMNOlah sebuah perjuangan yang benar serta tulus murni dalam kisah menjulang kemakmuran lalu wajib dipertahankan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, perjalanan UMNO masih panjang dan sejarahnya tidak akan sesekali terpadam walau apa sahaja dugaan yang telah dan akan terpaksa ditempuhi.

“Biar berdentum guruh di langit, tidak hancur bumi sebelum kiamat, biar pelbagai cubaan mendatang, tetap perjuangan UMNO diteruskan.

“Saksikanlah Perhimpunan Agung UMNO 2021 medan kita yang selanjutnya untuk memperkasakan lagi kemuafakatan dan memacu lebih kekuatan.

“Biar bergema ke seluruh tanah air wadah semangat dan aspirasi UMNO sentiasa muda dan keterhadapan. Kepada Allah S.W.T kita memohon petunjuk dan pedoman,” katanya. – MalaysiaGazette