Datuk Baljit Singh

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Pulau Pinang digesa menghentikan propaganda kehebatannya yang berjaya membawa masuk pelaburan atau bilangan pekerjaan telah diwujudkan dan cerita menggembirakan.

Ini kerana, realitinya rakyat di negeri itu sedang menderita dalam diam  sejak dua tahun kebelakangan ini.

Menurut Naib Presiden Gerakan, Baljit Singh, keikhlasan kerajaan negeri DAP dalam  membantu golongan memerlukan terus menjadi tanda tanya.

”Pihak berkuasa negeri hanya mementingkan peluang bergambar dan menjana cerita gembira kepada masyarakat umum dalam media sahaja.

“Kebenarannya, realitinya jauh panggang dari api. Sungguh membimbangkan sekali.

“Saya beri contoh insiden baru-baru ini media menyiarkan ‘ancaman’ penjaja beca yang  terkesan akibat pandemik Covid-19 untuk mengadakan demonstrasi selepas bantuan kewangan yang dijanjikan kerajaan negeri tidak dibayar.

“Bagaimanapun selepas berita itu keluar, pihak berwajib dengan ‘pantas’ memasukkan bayaran ke dalam akaun bank. Isu penjaja beca, ini bukan baru sebaliknya sejak dua tahun ini keadaan mereka sangat susah bergelut mencari nafkah lagi-lagi dengan kos sara hidup meningkat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kata Baljit lagi, lebih memeranjatkan apabila elaun awal RM200 sebulan daripada kerajaan negeri kini telah dipotong separuh dan dibayar lewat.

“Timbul persoalan kenapa ada golongan yang sedang derita dalam diam, telah dipinggirkan oleh kerajaan yang kononnya juara dalam menjaga kebajikan rakyat.

“Saya nasihatkan kerajaan Pulau Pinang untuk menghentikan sahaja propaganda berapa banyak pelaburan yang telah berjaya mereka bawa masuk dan banyak lagi ‘kejayaan’ di canang mereka. Mohon untuk mereka benar-benar tengok apakah realiti dan nasib rakyat negeri itu pada masa ini.

“Ingatlah, kejayaan sebuah negara maju tidak harus diukur daripada pencapaian prestasi,  sebaliknya kebajikan, keprihatinan masyarakat juga sama penting dan bukanlah hanya ketika hendak pancing undi,” ujarnya.

Baljit juga mengingatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow untuk lebih prihatin terhadap rakyatnya yang begitu mengharapkan wakil rakyat benar-benar bekerja.

“Minta Exco dan agensi kerajaan untuk waspada, prihatin terutamanya terhadap golongan memerlukan. Janganlah asyik dahulukan politik di Parlimen dan pentas-pentas ceramah atau media-media sosial,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast