Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki melaungkan 'Hidup UMNO' pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 17 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – UMNO akur berkongsi kuasa dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pas demi keselamatan rakyat, menjunjung titah Diraja dan menjaga Perlembagaan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu sepakat menubuhkan kerajaan baharu yang bersifat sementara dan bersetuju mewujudkan kerajaan campuran dengan syarat segala tuntutan rakyat ditunaikan segera.

Realitinya, kata beliau, hanya UMNO sahaja yang berbaik sangka dengan perkongsian kuasa itu sedangkan yang lain sekadar bermuka-muka.

“Kita bekerja di hadapan, mereka galak menanam ranjau di belakang. Benarlah kata orang tua-tua, bekerja dengan pengkhianat belum tentu rumah selamat.

“Mana mungkin sebuah kestabilan dapat dicapai sekiranya permuafakatan tidak dilandas atas kejujuran dan keikhlasan dan mana mungkin permuafakatan boleh kekal kiranya scheme of thing yang menjadi caturan.

“Kononnya melalui scheme of thing, Abah (Tan Sri Muhyiddin yassin) boleh beli orang UMNO dengan wang. Kononnya Abah mampu perdayakan orang UMNO dengan jawatan. Namun majoriti ahli UMNO terutamanya Pemuda telah membuktikan kesetiaan tidak boleh dijual beli dengan jawatan. Perjuangan tidak boleh digalang ganti dengan projek mahupun wang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda di Persidangan Perwakilan Pemuda di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini.

Menurut Dr. Asyraf, Pemuda ‘Generasi Bangkit Kembali’ telah bersumpah setia biar apa pun yang berlaku, biar halilintar membelah bumi, biar pun setinggi mana badai melanda akan sama-sama pertahankan bahtera, bersetia melalui perhimpunan keramat ini.

Kata beliau, tiada dalam kepala ‘rakan kongsi’ mereka melainkan untuk memusnahkan UMNO dan tiada dalam jiwa mereka, melainkan menyambung kerosakan kerajaan PH semata-mata.

Malah katanya, dasar-dasar yang merugikan negara pada zaman PH kekal diteruskan pada zaman PN dengan projek mega yang memanfaatkan rakyat seperti HSR pula dibatalkan.

“Anehnya ketika kempen PRN Johor, mereka berikrar pula mahu kembalikan projek HSR di negeri tersebut. Akal labah-labah, di gua buruk suka merakut. Mujurlah Bangsa Johor tidak mudah tertipu dan terikut,” katanya.

Kata Aysraf lagi, apabila kehidupan rakyat mula sengsara, Pemuda UMNO tiada pilihan melainkan perlu bersuara dan menjadi jurubicara rakyat dengan konsisten mendesak pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

UMNO mendesak moratorium pinjaman bank, mendesak bantuan tunai rakyat dipermudahkan, mendesak supaya insentif perniagaan diperbesarkan dan diperluaskan demi membela rakyat.

Ketika itu, katanya, ada yang tidak selesa, kononnya desakan Pemuda itu adalah tanda gila kuasa, populis dan mereka mahukan Pemuda yang bisu serta taat tanpa banyak cerita.

“Jangan terlalu banyak bicara kerana ia mengganggu kerajaan bekerja. Malah ada yang menyindir kononnya tuntutan kita ibarat seperti syarat Puteri Gunung Ledang pula.

“Tetapi apabila rakyat susah, rakyat menderita, rakyat sengsara bagaimana Pemuda boleh berdiam sahaja?” soal beliau.

Asyraf berkata, kemuncak ketakutan kerajaan PN hilang kuasa apabila Abah mengisytiharkan darurat, kononnya untuk rakyat dan agar negara selamat, sedangkan jelas dengan pelaksanaan PKP separuh masak, bantuan terhad, SOP tidak cermat telah menyebabkan rakyat makin tenat dan melarat.

“Siapa sebenarnya gila kuasa? Menggantung Parlimen dan memandulkan demokrasi hingga wang negara dibelanja tanpa had dan batasannya.

“Hutang negara naik mencanak sebanyak RM173.3 bilion hanya 18 bulan berkuasa. Tidak cukup dengan itu RM5 bilion Tabung Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang kerajaan kita dahulu bina disakau begitu sahaja.

“Semua ini dilakukan dalam keadaan tiadanya suara semak dan imbang melalui Parlimen. Semua ini dilakukan atas nama darurat,” ujar beliau.

Beliau turut menyatakan, kemuncak kebobrokan kerajaan PN apabila mereka tergamak menderhakai raja hingga sanggup mendustai tuanku kononnya baginda merestui penamatan darurat tanpa perlu ke Parlimen, hingga buat pertama kali dalam sejarah Majlis Raja-Raja menzahirkan titah dukacita.

Maka ketika itu, bagaimana lagi UMNO boleh terus bersama mereka dan pertahankan pengkhianatan rakan kongsinya.

“Kita bukanlah penderhaka! Kita Melayu yang meletakkan taat setia kepada raja dan negara. Mana mungkin kita menjadi sebahagian daripada mereka yang mempersenda rakyat dan mendustai istana kerana mahu terus menggenggam kuasa.

“Inilah pengakhiran riwayat sebuah kerajaan yang tidak punya mandat. Sudahlah melalui pintu belakang, khianat pula kepada rakan dan taulan, tergamak menipu rakyat jelata dan akhirnya menderhakai istana,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast