Zaini (tengah) menyaksikan serahan dokumen antara Abdul Majid (kiri) dan Razali (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di Bukit Beruang, Melaka hari ini.

MELAKA – Sebanyak 11,111 perjawatan pengawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara akan mula diisi setelah sebahagian mereka tamat latihan susulan peralihan fasa pandemik Covid-19 kepada endemik menjelang 1 April ini.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass berkata, angka itu adalah daripada 137, 628 perjawatan dalam PDRM bermula daripada bagi pegawai kanan, pegawai rendah dan penjawat awam.

Menurutnya, kekosongan terbesar adalah bagi perjawatan pegawai rendah sebanyak 9,006 kekosongan daripada 110, 084 perjawatan manakala untuk pegawai kanan masih terdapat 551 kekosongan.

“Alhamdulillah tahun ni juga kita lihat suasana Covid-19 dah reda, kita nak masuk fasa endemik dan tiada masalah teruskan latihan untuk mengisi kekosongan pengawai kanan menjelang Disember ini.

“Untuk pegawai rendah, tahun ni kita sedang melatih sejumlah 5,000 orang mengambil kira prosedur operasi standard (SOP), insya- Allah akan selesai tahun ini.

“Tahun depan, ada baki kira-kira 4,000 lagi, dan harapnya tahun-tahun mendatang situasi Perintah Kawalan Pergerakan (KPK) mengizinkan kita melaksanakan latihan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di Bukit Beruang di sini hari ini.

Ia menyaksikan Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali yang bersara hari ini menyerahkan tugasnya kepada Timbalannya Datuk Razali Abu Samah yang memangku jawatan itu.

Mengulas lanjut Zaini berkata, peralihan fasa endemik yang menyaksikan pintu sempadan negara mula dibuka tidak menjejaskan penugasan pegawai dan anggotanya di seluruh negara.

“PDRM dengan kekuatan keseluruhan kita seramai 126, 517 anggota dan pegawai, di fasa apapun itulah jumlah yang ada, cuma penugasan itu sahaja kita buat deployment (penempatan semula)

“Contoh pada masa ini kita tumpu pada Op Benteng, jadi bila fasa kita berupa, tenaga polis yang sama, kita deploy (kerahkan) kepada tugas-tugas yang berlainan pula, tak boleh kata bila buka sempadan nak tambah kekuatan, tidak begitu,” katanya. – MalaysiaGazette