Tan kok wai dap
Tan Kok Wai

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai berkata, tindakannya tidak mempertahankan jawatan Pengerusi DAP bukan bertujuan memberi laluan kepada Lim Guan Eng yang tidak boleh lagi menjadi setiausaha agung kerana dihadkan perlembagaan parti.

Kok Wai berkata, niat berundur daripada jawatan pengerusi telah dinyatakan tiga tahun lalu dan semua orang dalam parti mengetahui perkara itu.

Beliau berkata, kebarangkalian dan kemungkinan Guan Eng dicalonkan untuk menjadi pengerusi parti belum diketahui kerana parti itu mempunyai banyak pelapis yang berbakat.

Ditanya sama ada beliau pernah terlintas fikiran untuk menjadi setiausaha agung pula, Kok Wai berkata, beliau tidak pernah memikirkan kemungkinan tersebut.

“Setiausaha agung perlu mempunyai karisma, berbakat tinggi dan sanggup berkorban.  Saya berpendapat ada calon yang lebih sesuai untuk mengisi jawatan ini,” katanya dalam wawancara bersama China Press.

Sebelum ini terdapat spekulasi bahawa Guan Eng yang mencapai had penggal maksimum setiausaha agung akan merebut jawatan pengerusi parti.

Keadaan itu juga dikhuatiri akan mengubah tradisi DAP apabila pengerusi menjadi lebih berpengaruh berbanding setiausaha agung.

Mengulas perkara itu, Kok Wai berkata, setiap pengerusi termasuk pengerusi baharu akan memahami bidang kuasa mereka kerana dalam DAP, setiausaha agung merupakan “ketua pegawai eksekutif” parti.

Menurutnya, peranan pengerusi parti adalah memanggil dan mempengerusikan mesyuarat serta menandatangani dokumen bersama setiausaha agung.

Katanya, setiausaha agung pula melaksanakan keputusan yang dibuat parti dan merupakan pemimpin utama dalam polisi parti.

“Pengerusi dan setiausaha agung memainkan peranan masing-masing dan keadaan ini dapat mengelakkan keadaan huru hara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast