Kamaruddin Manap

ALOR GAJAH – Lembaga Adat Perpatih Naning di sini memohon pertimbangan kerajaan negeri mengiktiraf pelantikan Datuk Naning yang dilantik melalui institusi berkenaan.

Pembesar Warisnya, Datuk Paduka Kamaruddin Manap berkata, pihaknya juga bersedia untuk berjumpa dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai hasrat itu.

Menurut beliau, ia sebagai tanda penghargaan adat Naning yang sudah wujud sejak ratusan tahun dahulu termasuk terlibat dalam perang menentang penjajah ketika era penjajahan British dan Belanda.

“Insya-Allah, kita akan berbincang berbincang dengan Pengerusi Lembaga Adat Perpatih Naning, pembesar waris dan beberapa orang profesor yang telah buat kajian tentang Naning ini.

“Lepas itu kita akan berjumpa dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali agar dapat mengikraf pelantikan Datuk dari Naning ini yang merupakan salah satu negeri asal yang membentuk persekutuan Negeri Sembilan pada abad yang ke-16,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Kompleks Wilayah Adat Perpatih Naning, Kampung Pereling, Melekek di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata, sebagai pewaris dan orang Melayu, institusi Naning berasa menjadi satu kerugian Naning yang terdapat di 25 mukim di negeri ini, ini tidak diiktiraf kerajaan negeri.

“Jika tiada tindakan, identiti bangsa ini akan hilang begitu saja dan kita boleh lihat, orang muda yang ada pun ada yang tidak tahu sulur galur keturunan mereka ini,.

“Sedih melihat generasi yang ada ini akan datang pun tak tahu sejarah Wilayah Naning sebagai sebuah wilayah tertua sekali di Malaysia dalam pengamalan adat Perpatih,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Lembaga Adat Naning juga amat prihatin dan menyantuni terhadap sebarang musibah yang berlaku dalam kalangan masyarakat.

Semasa banjir melanda sekitar akhir Disember 2021 dan Januari 2022, umpamanya, sebanyak 342 keluarga dibantu dengan pelbagai bantuan merangkumi makanan, kewangan serta bantuan sokongan.

“Selain itu juga pelbagai Unit Prihatin Naning sentiasa komited meneruskan misi bantuan dalam pelbagai bentuk kepada masyarakat.

“Unit Prihatin Naning juga cakna terhadap permasalahan yang dihadapi oleh golongan asnaf dan golongan terpinggir dengan sentiasa terkehadapan dalam memberikan bantuan kepada golongan ini,” katanya.

Dalam aspek pembangunan agama dan kerohanian, pula kata Kamarudin , program pembudayaan Al-Quran Naning telah berjalan bersama Rakan Al-Quran negeri Melaka lebih daripada setahun.

“Lembaga Adat Naning juga sedang merangka kerjasama bersama beberapa NGO dalam menubuhkan pusat bimbingan agama dan madrasah dalam masa terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast