Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Fathul Bari Mat Jahya bercakap pada media Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak boleh memandang mudah terhadap jumlah pengundi yang keluar mengundi dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor yang secara purata sekadar 55 peratus sahaja.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya berkata, prestasi UMNO-BN itu tidak boleh digunakan secara terburu-buru untuk meraih kemenangan di peringkat Persekutuan sedangkan pemulihan negara masih berjalan ketika ini.

Beliau berkata, desakan agar UMNO menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini perlu dikaji semula, apatah lagi ketika ini rakyat giat memulihkan pendapatan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Ini satu isu serius, jangan kita ambil mudah dengan melihat 55 peratus jumlah keluar mengundi di Johor satu penanda aras untuk kemenangan melalui PRU15 akan datang.

“Lebih baik baiki dahulu, pulihkan dahulu ekonomi, pelaburan langsung asing (FDI), hubungan luar dan sebagainya, bagi ada sesuatu, bagi ada asas untuk kita jual kepada rakyat.

“Bukan jual dalam keadaan tidak baik, kita kempen kepada rakyat, produk kita, kita berjaya buat, kita berjaya ubah walaupun kita dalam keadaan tidak dominan.

“Lepas itu baru kita boleh pergi kepada pilihan raya, orang kenal, mereka fikir soal makan, atas meja ini cukup makan atau tidak, ini soal impak ekonomi,” katanya kepada MalaysiaGazette di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Rabu lalu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan tiada alasan lagi untuk melengahkan PRU15, apatah lagi ketika seteru politik UMNO dan BN dalam keadaan lemah.

Mohamad berkata, PRU15 perlu diadakan pada tahun ini dan bukan tahun hadapan dengan memanfaatkan semua kelemahan pembangkang selepas tewas hingga hilang deposit dalam PRN Melaka dan Johor.

Dalam pada itu, Fathul Bari juga menyamakan perbezaan pendapat antara Presiden UMNO dan Timbalan Presiden UMNO ketika dalam soal menyegerakan pilihan raya pernah berlaku sebelum ini.

“Satu lagi perspektif melihat kepada apa yang disebut oleh Tok Mad Hasan saya kira jelas, disebut strategi iaitu musuh tengah lemah, kita serang sekarang, itu pun satu pandangan, pada saya itu juga ada substance.

“Keadaan sama berlaku tiga tahun lepas, perbezaan pendapat antara Presiden dengan Timbalan Presiden. Presiden mempromosikan aman gamatsu pada waktu itu, Timbalan Presiden memfokuskan soal pemerkasaan dalaman parti.

“Justifikasi Presiden mungkin pada waktu itu UMNO terkejut 60 tahun memerintah, tiba-tiba tiada kuasa, jadi nak cepat, nak bentuk kerajaan dengan gabungan aman gamansu.

“Timbalan Presiden kata kita tak perlu itu, kita fokus kepada perkasakan diri kita, nampak ada dua pendapat dan pandangan, sama juga pada hari ini,” katanya.

Berikutan itu, isu menyegerakan PRU15 katanya sudah jelas tiada keperluan untuk mempersoalkannya kerana sudah disepakati Majlis Kerja Tertinggi (MKN) UMNO untuk diserahkan pucuk pimpinan utama.

“Bila MKT sudah putuskan, isu ini diserahkan kepada lima pimpinan tertinggi untuk menentukan, saya yakin kerajaan Perdana Menteri nak memperhalusi dari sudut pemulihan ekonomi dan kepercayaan rakyat.

“Presiden nak fokus kepada kualiti kekuatan parti, kebersediaan parti kita, perlu diharmonikan kedua-dua ini, capai perbincangan dalam lima pucuk pimpinan, insya-Allah saya akan dengar dan patuh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette