KUALA LUMPUR – Kesan dan tahap kestabilan kesihatan awam selepas pembukaan sempadan negara hanya dapat diukur menerusi kadar kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU), kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
“Kita akan mula buka sempadan pada 1 April ini dan kita nak tengok kesan kepada pembukaan itu dan kita jangka pembukaan yang akan dibuat dengan selamat dan tidak ada tekanan kepada sistem kesihatan awam.
“Tetapi apa yang kita tak tahu adalah dari segi varian baharu Omicron…ini kita masih pantau sebab kita tahu Omicron ini ada sub unit dan pakar di Kementerian Kesihatan sedang memantau. Kalau kita lihat negara Eropah, kadar jangkitan turun dan naik,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perasmian Perhimpunan Agung UMNO di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mac mengumumkan Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik serta pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April.
Ismail Sabri dilapor berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.
“Saya nak tengok selepas 1 April ini…lebih kelonggaran solat tarawih dan sebagainya, melonjak naik atau tidak…(bilangan) kes tak apa, cuma kemasukan hospital dan ICU itu saya nak lihat dalam beberapa bulan lagi (sama ada) keadaan itu stabil atau tidak,” katanya. – MalaysiaGazette