Ketua Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Sukar untuk Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyatukan semula parti pembangkang selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Menurut Timbalan Ketua Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak, parti pembangkang telah terbukti gagal membentuk kesepakatan antara satu sama lain sehingga akhirnya berpecah selepas menjadi kerajaan selama 22 bulan.

Ujar beliau, kepentingan dan matlamat yang berbeza khususnya perebutan jawatan Perdana Menteri tidak akan menyebabkan kerjasama dalam kalangan parti pembangkang.

“Saya amat berkeyakinan, untuk dapatkan kerjasama sesama pembangkang memang sukar masing-masing punya matlamat yang berbeza.

“PKR nak Anwar menjadi Perdana Menteri, Pejuang nak Mukhriz jadi Perdana Menteri, Bersatu nak Muhyiddin jadi Perdana Menteri, Warisan nak Shafie jadi Perdana Menteri. Nak bahagi kerusi pun sukar.

“Sekiranya ini berlaku memberikan kesan buruk kepada rakyat sebagaimana tindakan jatuh menjatuhkan sesama mereka yang berlaku sebelum ini sebab masing-masing ada tujuan dan matlamat untuk jadi kerajaan seperti yang berlaku 22 bulan sebelum ini, Anwar jatuhkan Tun M, Tun M jatuhkan Anwar bencana itu memberi kesan kepada kerajaan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sebagai salah seorang perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 hari ini.

Semalam Dr Mahathir tidak menolak kemungkinan Pejuang akan bergabung dengan parti-parti lain untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

Tambah Sulaiman, niat Dr. Mahathir yang hanya mahu menggabungkan parti-parti pembangkang semata-mata demi menjatuhkan BN ternyata tidak ikhlas.

“Saya tidak nampak kerjasama itu jujur dan kerjasama itu ikhlas untuk rakyat demi kestabilan negara tapi semata-mata supaya BN tidak memerintah BN sudah buktikan kerjasama sesama kita,” katanya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Petaling Jaya, Mohamed Sam A. Wahid pula berpendirian, rakyat kini semakin matang menilai kerjasama di antara pembangkang yang akhirnya tumbang diakibatkan oleh kepentingan peribadi yang berbeza.

Mohamed Sam A. Wahid. Foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2022.

Senada dengan Sulaiman, beliau menjangka niat Dr. Mahathir mahu menyatukan semula pembangkang bakal menemui jalan buntu.

“Mereka (pembangkang) ada sejarah yang telah diperakui rakyat gagal selama 22 bulan, jadi saya yakin rakyat telah melihat apa yang berlaku, kehancuran kepada negara apabila mereka memerintah.

“Niat Dr. Mahathir mungkin akan gagal walaupun berjaya menyatukan pembangkang semula sebab masing-masing punya agenda masing-masing,” katanyanya.

Mengulas lebih lanjut beliau berkata, Pengerusi Pejuang itu mengeluarkan kenyataan berkenaan selepas menyedari  pembangkang tidak mempunyai kesepaduan tidak akan berjaya menggulingkan BN.

“Tun M sedar kegagalan pembangkang menyebabkan mereka kalah di PRN Johor. Beliau telah nampak sekiranya pembangkang tidak bersatu, mereka akan kekal menjadi pembangkang selama-lamanya dan memberi kelebihan kepada BN,” tambahnya.

Dalam pada itu, seorang lagi Perwakilan PAU 2021 mendakwa  sukar untuk mempercayai Dr Mahathir kerana beliau dilihat sering mengeluarkan kenyataan yang tidak konsisten.

Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian Kepala Batas, Mohd Naim Salleh berkata, sejak meninggalkan UMNO-BN, pendirian mantan Pengerusi PH berkenaan dilihat sering mengelirukan.

Mohd Naim Salleh. Foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2022.

“PH sudah berpecah kepada banyak parti untuk mereka bergabung kembali akan ambil masa dan sukar jadi kenyataan walaupun tidak sepenuhnya kembali kepada BN tapi rakyat lebih kepada menolak PH, kalau bergabung pun tidak berjaya.

“Sejak Tun M tidak bersama UMNO dan BN memang dia sering keluarkan kenyataan yang tidak konsisten, jadi biasalah tu,” tambah beliau.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tun M mungkin bergabung untuk kalahkan BN