KUALA LUMPUR – Pemimpin atau ahli UMNO tidak perlu menjerit-jerit mahu membubarkan Parlimen pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 ketika ini.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, ini kerana keputusan yang membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kini di tangan pemimpinan atasan parti.
“Saya lihat ramai yang menjerit bubar Parlimen semasa PAU 2021 ini. Adakah mereka ini tahu apa yang mereka lakukan?
“Buat apa nak terjerit dan desak bubar Parlimen sedangkan keputusan membubarkannya di tangan kita. Kalau keputusan bubar Parlimen itu ada pada Atok (Tun Dr. Mahathir Mohamad) atau Midin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bolehlah kita mendesak,” katanya di hantaran Facebook miliknya hari ini.
Najmil Faiz yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO menambah, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah bersetuju menyerahkan kebijaksanaan kepimpinan ‘Top 5’ UMNO untuk menentukan bila masa bersesuai untuk PRU-15 diadakan.
Kata beliau, dalam Top 5 terdapat presiden, timbalan presiden dan tiga orang naib presiden termasuk perdana menteri.
“Jadi keputusan membubarkan Parlimen itu ada pada kita. Adakah kita nak jadi bodoh sampai strategi kita pun beritahu pada parti lawan bila PRU-15 nak diadakan?
“Ianya adalah keputusan bersama pemimpin Top 5 kita.
“Jurucakap dan pemimpin kita pun tak perlu provok perwakilan minta bubar sampai boleh memalukan pemimpin Top 5 kita.
“Teringat saya pada kejadian jeritan minta bubar Parlimen pada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) di Johor selepas pengumuman keputusan PRN Johor.
“Pada masa yang sama, tindakan ini secara tidak sedar memalukan diri mereka sendiri kerana tidak faham akan akan situasi sebenar.
“Saya nak tanya adakah perwakilan semua tidak percaya pada kebijaksanaan Top-5? Butang itu ada pada kita. Sampai masa pemimpin Top 5 kita akan tekan. Tenang-tenang sudahlah.
“Apa lagi nak menjerit-jerit bubar Parlimen tu?” soalnya lagi. – MalaysiaGazette