Daun ketum. Foto HAZROL ZAINAL, 17 FEBRUARI 2021

ALOR SETAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup keluar 2.2 tan daun ketum yang dianggarkan bernilai RM396,000 di perairan muara Kuala Kedah di sini hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, sebelum itu pihaknya mendapat maklumat berhubung aktiviti pemunggahan yang mencurigakan di kawasan itu.

“Berikutan itu, sekitar 6 pagi tadi sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Aman di perairan Kuala Kedah diatur gerak bagi mengesan aktiviti ini.

“Setiba di lokasi berkenaan, bot ronda Maritim Malaysia itu berjaya mengesan longgokan plastik hitam yang mencurigakan dalam keadaan berselerak di tepi muara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, sebanyak 220 bungkusan plastik ditemukan yang di dalamnya mengandungi daun hijau disyaki daun ketum dengan anggaran berat keseluruhan 2.2 tan dan dipercayai baharu sahaja diletakkan di lokasi terbabit.

Menurutnya, kesemua daun ketum itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut.

“Semua hasil rampasan daun ketum yang dianggarkan bernilai RM396,000 itu, dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. – Bernama