Mohd Khairuddin Othman

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor telah mengambil pelbagai langkah dan tindakan untuk menangani masalah gejala sosial secara menyeluruh, kata Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman.

Kata beliau, antara tindakan dan inisiatif diambil ialah mewujudkan strategi dan Program Pakej Kita Selangor yang memberi fokus kepada tiga strategi utama.

Menurutnya, tiga strategi itu ialah Strategi I, menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat, Strategi II, menyelamatkan industri dan sektor ekonomi serta usahawan di Selangor dan Strategi III, kawalan keselamatan untuk mengekang penularan wabak.

Selain itu, kata beliau, kerajaan negeri juga menyediakan pusat atau rumah pemulihan untuk memberi perlindungan, bantuan dan bimbingan secara langsung kepada pelatih serta memberi peluang kepada mereka untuk mengubah kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.

“Kita turut menyalurkan dana RM305,000 sepanjang 2020 dan 2021 kepada pusat perlindungan dan pemulihan di negeri ini untuk pelaksanaan program pemantapan sahsiah diri dan minda serta menampung keperluan harian.

“Kita juga menganjurkan Program Amalan Mengikut Ajaran Rasulullah SAW (AMAR) dan Taklimat Undang-undang Jenayah Syariah yang dikendalikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melibatkan peserta di kalangan remaja,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Mulut pada sidang DUN Selangor di sini, hari ini.

Menurut Mohd Khairuddin, program berikutnya ialah Program Pencegahan Keparahan Sosial melibatkan remaja oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai langkah pencegahan awal bagi membendung peningkatan masalah gejala sosial yang berlaku di kalangan wanita muda.

Katanya, turut dianjurkan ialah Program Pembentukan dan Pemantapan Konsep Kendiri Remaja melibatkan pelatih rumah perlindungan untuk memantapkan semangat motivasi dan jati diri remaja dengan penerapan elemen keagamaan serta kaunseling.

“Terakhir sekali, pelaksanaan program Bual Bicara: Wira Muda Bebas Dadah secara online (webinar) iaitu rancangan bicara santai sembilan siri secara atas talian.

“Program ini bertujuan untuk menyerlahkan potensi setiap individu generasi muda yang memberi fokus kepada elemen kreatif dan inovasi, seni, muzik, positif dan insklusiviti,” katanya.

Beliau berkata, Polis Selangor di bawah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) telah melaksanakan Delivery Service dalam semua aspek.

“Mereka mengadakan kerjasama dengan masyarakat serta pertubuhan melalui konsep pendekatan pencegahan jenayah seperti Kor Kadet Polis, Kor Sukarelawan Siswa Siswi (SUKSIS) melibatkan pelajar IPT iaitu dengan mengadakan ceramah berkaitan jenayah seksual, dialog, riadah dan gotong-royong.

“Selain itu, IPK Selangor juga melaksanakan penguatkuasaan Operasi Rondaan seperti Op Benteng iaitu penugasan rondaan bersama Angkatan Tentera Malaysia (Joint Patrol) dan mewujudkan Polis Bantuan Kontinjen Selangor,” katanya.

Mohd Khairuddin menjelaskan, kadar keberkesanan dalam menangani gejala sosial menunjukkan trend penurunan sebanyak 14.61 peratus iaitu 17,244 pada 2020 kepada 14,725 kes tahun 2021. – MalaysiaGazette