KUALA LUMPUR – Sepatutnya tidak ada mana-mana parti pembangkang mengugut supaya Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti untuk diluluskan sebaliknya tarik sahaja sokongan kepada kerajaan yang pernah dibuat menerusi memorandum persefahaman (MoU).
Menurut Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, RUU Anti Lompat itu sememangnya satu keperluan bagi memastikan demokrasi di negara terus terpelihara di kala ada segelintir wakil rakyat melompat parti
“Akta ini perlu dilaksana, tidak perlu tunggu jika tidak bentang tarik sahaja sokongan. Sebenarnya kita juga kena lihat perincian akta ini agar RUU tersebut diluluskan. Mandat rakyat yang diberikan kepada seseorang itu tidak harus dikhianati dengan lompat sana sini.
“Jangan tunggu, main ugut. Namun saya setuju RUU ini jangan tunggu lagi. Saya sudah membahaskan perkara ini di Dewan Rakyat malah saya sudah maklumkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) bahawa usul ini perlu dibawa,” katanya hari ini.
Semalam mantan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberitahu seandainya Akta Anti Lompat Parti tidak di bawa ke Parlimen maka MoU dimeterai akan terbatal.
Kata Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna, antara perincian yang dimaksudkan termasuk memastikan seseorang yang melompat parti itu tidak harus dibenarkan bertanding semula.
“Jangan beri golongan ini (lompat parti) ini bertanding semula pada pilihan raya akan datang. Seperti contoh, pengedar dadah boleh digantung seumur hidup, itu juga pengajaran kepada ahli politik,” katanya. -MalaysiaGazette