Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR – Penubuhan Lembaga Ruminan Negara (LRN) adalah untuk membangunkan industri bekalan daging secara holistik, berdaya maju dan mampan, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Beliau berkata, LRN akan memberi tumpuan kepada pembangunan industri ruminan dengan objektif sebagai agensi peneraju pembangunan industri berkenaan di negara ini.

LRN juga katanya, akan memperkukuh kerangka institusi, kawal selia dan tadbir urus industri.

“Intervensi ini juga akan menjadi asas untuk proses penjajaran, rasionalisasi dan penstrukturan semula fungsi dan peranan pelbagai jabatan dan agensi sediada berkaitan sektor ruminan.

“Selain meningkatkan populasi asas, produktiviti dan pengeluaran sektor ruminan negara melalui pelaksanaan program pembangunan industri ruminan dengan sokongan peruntukan dana pembangunan secara strategik dan bersasar untuk pengukuhan sekuriti makanan negara serta meningkatkan tahap saradiriruminan negara,” katanya di Parlimen hari ini.

Ronald berkata, LRN juga dapat meningkatkan pendapatan usahawan dan daya saing pasaran industri ruminan negara melalui pembangunan keusahawanan agro bisnes, pengukuhan institusi pemain industri serta penerokaan peluang dan akses pasaran yang lebih kompetitif.

Di samping, ia meningkatkan pelaburan swasta dan transformasi penternak dengan mempelbagai perkembangan model perniagaan yang berdaya maju dan mampan.

Menurut Roanald, penubuhan LRN itu dijangka beroperasi secara berfasa bermula tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, sebelum LRN ditubuhkan, satu pasukan interim telah diwujudkan bagi menyediakan keperluan asas pengoperasian LRN meliputi merancang dan menyelaras pentadbiran awal penubuhan serta merangka perancangan dasar serta hala tuju strategik melalui penggubalan akta tubuh LRN melalui sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan. – MalaysiaGazette