Nazri Aziz

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Akta Lompat Parti perlu dibentang untuk dibahaskan dalam sesi Parlimen yang sedang bersidang minggu ini.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, RUU itu amat penting, walau beliau sedar ada dalam kalangan Jemaah Menteri berbeza pendapat mengenai akta diwujudkan.

Katanya, beliau telah bercakap mengenai perlunya akta itu diwujudkan pada persidangan Parlimen tahun lalu lagi dan disokong seratus peratus oleh Mohamad Sabu (PH-Kota Raja).

Bagaimanapun, katanya, Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu ketika berbahas pada masa itu menyalahkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai penyebab ketidakstabilan politik.

“Walhal kita semua tahu, tidak stabilnya politik hari ini kerana pergaduhan antara mereka dalam Pakatan Harapan (PH), tidak ada kaitan sama sekali pun dengan BN.

“Malah, BN dan UMNO pada masa itu berjanji akan menjadi pembangkang untuk tempoh lima tahun sehingga habis penggal Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2023.

“Jadi, janganlah seratus peratus menyalahkan kami. Kerajaan PH jatuh kerana sebahagian besar pemimpinnya lompat parti,” katanya di Parlimen, hari ini.

Justeru, Nazri berkata, beliau menyokong seratus peratus Akta Lompat Parti dan perlu dibahaskan sekarang.

Katanya, jika perbahasan itu tidak habis serentak dengan berakhirnya persidangan Parlimen pada Khamis ini, persidangan khas boleh dipanggil untuk membahaskan aktar berkenaan.

“Saya sokong Akta Anti Lompat Parti ini dilaksanakan. Kita tidak boleh beri apa-apa alasan untuk menyatakan bahawa kita tidak boleh laksanakannya.

“Saya difahamkan ada dalam kalangan jemaah Menteri tidak sepakat kerana mereka masih tertanya-tanya macam mana bentuknya RUU Anti Lompat Parti ini nanti.

“Saya percaya dalam hal ini tentu seratus peratus akan sokong, melainkan mereka yang sememangnya mahu menjadi katak, tapi itu minoriti lah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast