Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagagan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Azmin Ali.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagagan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Azmin Ali.

KUALA LUMPUR – Seiring dengan pembukaan pintu sempadan negara pada 1 April depan, Vietnam dan Malaysia bersetuju untuk mengiktiraf sijil vaksinasi Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, itu antara hasil yang diraih kedua-dua negara selepas sesi empat mata bersama-sama Presiden Vietman, Nguyen Xuan hari ini.

“Vietnam telah pun mengiktiraf sijil vaksinasi Malaysia sebelum ini (Ogos 2021). Semasa pertemuan saya dengan Perdana Menteri Vietnam, saya telah memaklumkan bahawa Malaysia bersetuju mengiktiraf sijil vaksinasi Vietnam,” katanya dalam nota percakapan sempena lawatan rasmi ke Vietnam hari ini.

Turut sama Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagagan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Untuk rekod, Vietnam sudah membuka pintu sempadan mereka pada 15 Mac lalu dan Putrajaya akan membuat perkara sama 1 April depan.

Ismail Sabri berkata, kedua-dua mereka membuat persetujuan itu berdasarkan kepada amalam timbal balas kerana Vietnam turut menggunakan vaksin yang diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia sepertimana Malaysia.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kedua-dua negara bersetuju mengadakan integrasi aplikasi MySejahtera Malaysia dengan PC Covid Vietnam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-dua negara turut mencapai persefahaman supaya mesyuarat ke empat Jawatankuasa Pemerdagangan Bersama (Joint Trade Commitee) diadakan dalam masa terdekat.

Ujar Ismail  Sabri, ia bagi menetapkan hala tuju tentang sasaran pemerdagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam.

“Sebelum ini, kedua-dua negara telah menetapkan sasaran nilai dagangan USD18 bilion menjelang 2025. Kedua-dua negara bersetuju untuk menetapkan sasaran lebih tinggi.

“Bagaimanapun, saya berkongsi pandangan bahawa nilai sasaran ini masih kecil berbanding potensi besar yang dimiliki Malaysia dan Vietnam.

“Ini mengambilkira nilai dagangan global Malaysia yang telah melepasi RM2 trilion (USD477 bilion), sementara nilai dagangan global Vietnam hampir mencecah USD 650 bilion,” ujar beliau lagi.

Mengulas lanjut, Xuan turut meluahkan rasa minat untuk meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam membangunkan industri halal mereka.

Justeru itu Ismail Sabri berkata, Putrajaya sedia untuk menawarkan kepakaran dan khidmat nasihat kepada negara itu.

“Kerjasama ini telah pun bermula. Dalam hal ini, Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan memastikan Halal Development Corporation (HDC) Malaysia mengambil tindakan susulan yang sewajarnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette