KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP yang baharu Anthony Loke memahami kekecewaan Ahli Parlimen Kota Damansara, Tony Pua yang tidak dipilih oleh perwakilan dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada Ahad lalu.
Anthony telah menelefon bekas setiausaha politik Lim Guan Eng tersebut dan memintanya untuk terus memainkan peranan yang penting dalam DAP.
Menurut Anthony, khidmat Tony masih diperlukan oleh parti berkenaan.
“Saya amat memahami perasaan kekecewaan beliau. Selepas 15 tahun menyumbang masa dan tenaga untuk perjuangan parti, sumbangan beliau seolah-olah tidak dihargai dalam pemilihan parti pada hari Ahad yang lalu.
“Namun, ini adalah asam garam dalam politik. Usaha kita tidak selalunya mendapat balasan yang setimpal mahupun dihargai.
“Keputusan perwakilan perlu diterima dengan hati yang terbuka seperti beliau nyatakan dalam kenyataannya semalam,” kata Anthony dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Dalam pemilihan yang diadakan pada Ahad lalu, Tony yang menjawat jawatan Ketua Publisiti Kebangsaan DAP sebelum itu, hanya mendapat 744 undi.
Keputusan tersebut menyaksikan buat pertama kali sejak 2008 beliau tidak terpilih menganggotai CEC DAP.
Dalam pujukannya, Anthony secara terbuka berkata, Tony merupakan aset yang sangat penting kepada DAP.
“Khidmat dan sumbangan beliau masih amat diperlukan. Saya berharap beliau akan terus membantu parti dan saya untuk menghadapi segala cabaran di depan kita terutamanya PRU-15!” kata Anthony.
Tony merupakan antara individu dalam Pakatan Harapan selain Rafizi Ramli yang lantang mengenai isu 1MDB.
Tony juga antara pemimpin PH yang dilihat sebagai kunci utama dalam menumbangkang kerajaan pimpinan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 dengan mengetengahkan banyak idea termasuk tol percuma.
Dalam kenyataaannya sebelum ini, Tony berkata, beliau telah meminta supaya Anthony tidak mengunakan kuasanya sebagai Setiausaha Agung DAP yang baharu untuk melantiknya sebagai anggota CEC DAP.
Ini kerana menurut beliau, perwakilan secara jelas telah menolaknya walaupun pada ketika itu dia mempunyai jawatan dalam parti.
“Walaupun saya tidak menjangka akan mendapat undian yang terlalu tinggi hari ini (Ahad), saya juga tidak menjangka akan terlepas tempat, terutamanya dalam CEC yang diperbesarkan. Sudah pasti ia mengecewakan, tetapi saya menerima keputusan perwakilan parti dengan hati terbuka,” katanya.-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Sedar diri ditolak, Tony minta Anthony jangan lantiknya sertai CEC