KUALA LUMPUR – Dua premis pusat hiburan di ibu negara yang melanggar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selain gagal memastikan pengunjungnya mematuhi peraturan.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, pihaknya telah berjaya melakukan serbuan Ops Khas Pematuhan SOP secara berasingan ke atas dua buah premis pusat hiburan terbabit malam tadi.
“Hasil risikan mendapati kesemua pusat hiburan tersebut telah beroperasi dengan melakukan kesalahan melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 (melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) yang masih dikuatkuasakan ketika ini.
“Sebanyak 12 kompaun telah dikeluarkan terhadap pengunjung di premis pertama manakala 31 kompaun telah dikeluarkan terhadap pengunjung di premis kedua yang bernilai RM 1,000.00 setiap satu kompaun setelah mendapati melanggar SOP semasa berada di dalam premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Azman, sebanyak dua kompaun turut dikeluarkan terhadap pemilik kedua premis pusat hiburan berkenaan dengan nilai yang sama.
Jumlah keseluruhan nilai kompaun yang telah dikeluarkan dalam serbuan ini adalah berjumlah RM45,000.- MalaysiaGazette