Cuthbert John Martin Quadra (tengah) pada Sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) Ke 70 peringkat negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Ayer Keroh, Melaka, hari ini

MELAKA – Wira banjir, Azwan Omar atau lebih dikenali ‘Abang Viva’ belum menjalani latihan asas untuk melayakkannya menjadi anggota sukerelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Perkara itu disahkan Pengarah APM Melaka Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra yang berkata, pihaknya masih menunggu kesediaan dan kelapangan pemuda itu mengikuti Kursus Asas Pertahanan Awam yang diadakan secara berjadual setiap tahun bagi pengambilan anggota sukarelawan baharu.

“APM bersedia pada bila-bila masa untuk melatih Azwan dengan ilmu penyelamatan yang lebih sistematik, namun ia perlulah bergantung kepada kelapangan masa beliau.

“Secara dasar dia (Azwan) memang setuju menjadi sebahagian pasukan sukarelawan APM tapi seperti anggota sukarelawan lain, dia juga perlu hadir kursus asas ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) Ke 70 peringkat negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Media pada Januari lalu melaporkan Azwan dipilih menjadi anggota sukarelawan APM Melaka selepas kisahnya tular di media sosial membantu mangsa banjir menggunakan kereta jenis Perodua Viva dan sebuah bot yang dibawa di atas bumbung keretanya itu.

Mengulas lanjut, Cuthbert berkata, pihaknya akan sentiasa berhubung dengan Azwan melalui pegawai di Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah untuk menetapkan masa sesuai bagi dia mengikuti kursus asas.

“Untuk tahun ini kita baru sekali buat pengambilan sukarelawan pada awal bulan ini, tapi dia agak sibuk dengan programnya dan kita pun tak nak ganggu Azwan.

“Tengoklah, kalau tiada halangan, kita usahakan untuk dia jalani kursus tahun ini kerana ilmu penyelamatan ini pun penting supaya Azwan lebih bersedia dan menjamin keselamatannya juga kelak,” katanya.

Kisah Azwan mula mendapat perhatian rakyat Malaysia selepas dia menyelamatkan mangsa banjir Disember lalu dengan hanya berbekalkan RM50 dan sebuah bot persendirian yang di bawa di atas kereta Perodua Viva kakaknya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast