azizi safar
Azizi Safar

KERAJAAN Keluarga Malaysia tidak terdiri kerana Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Pakatan Harapan.

Kerajaan Keluarga Malaysia terdiri kerana Ismail Sabri mendapat sokongan 114 orang Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri dan menubuhkan Kerajaan.

MOU ditandatangani setelah Ismail Sabri jadi PM, bukan sebelumnya. Ia adalah usaha Ismal Sabri bersesuaian dengan titah saranan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya berlaku kestabilan politik dan Kerajaan melalui kerjasama rentas parti.

MOU yang ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan adalah juga satu Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan atau CSA.

Pembangkang akan sokong atau berkecuali dalam undian usul-usul Kerajaan yang boleh menyebabkan persepsi hilang keyakinan kepada Perdana Menteri atau Kerajaan.

Pembangkang tidak perlu sokong atau berkecuali pada usul-usul Kerajaan lain yang tiada kesan ke atas keyakinan kepada PM dan Kerajaan jika gagal diluluskan oleh Parlimen.

Kerajaan Persekutuan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri ada majoriti yang jelas dan bukan satu Kerajaan minoriti seperti Kerajaan Justin Trudeau di Kanada pada masa ini. Ismail Sabri sebenarnya tidak memerlukan satu CSA dengan pihak Pembangkang.

Kerajaan Keluarga Malaysia Ismail Sabri tidak tumbang jika pun Memorandum Persefahaman terbatal atas sebab-sebab yang dinyatakan dalam MOU itu sendiri.

Kerajaan Keluarga Malaysia masih stabil selagi Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang membentuk Kerajaan ini tidak buat haru biru atau celaru.

Kerajaan Ismail Sabri akan tumbang jika Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang telah memberikan sokongan kepada Ismail Sabri untuk menjadi Perdana Menteri menarik balik sokongan mereka. Kerajaan Ismail Sabri tumbang jika hilang majoriti.

Jika sokongan kepada Ismail Sabri untuk kekal jadi Perdana Menteri datang dari pihak lain dan masih mencukupi untuk jadi Perdana Menteri, dia akan kekal sebagai Perdana Menteri.

MoU bukan satu perjanjian yang mengikat tapi hanya satu bentuk persefahaman saja. Ada orang kata, ia adalah a gentlemen’s agreement.

Biasalah kalau ada yang tidak faham apa itu maksud persefahaman atau tidak faham pula kandungan memorandum persefahaman itu juga. Ada juga yang buat-buat tak faham sebab ada motif tersembunyi yang tidak begitu bersembunyi.

Apa yang berlaku semalam di Dewan Rakyat seharusnya menjadi pengajaran kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat Kerajaan. Namun, ia tidak menjejaskan keyakinan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan.

Usul Kerajaan telah ditolak oleh Dewan Rakyat semalam adalah kerana ketidakhadiran Ahli-Ahli Parlimen Blok Kerajaan atau Government Backbenchers sendiri.

Ahli-Ahli Parlimen Blok Kerajaan seramai 114 orang, tapi yang hadir menyokong Usul Kerajaan bagi melanjutkan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) berkenaan tahanan selama 28 hari tanpa perbicaraan, hanya seramai 84 orang.

Seramai 30 orang telah tidak hadir. Ada empat Ahli Parlimen Kerajaan yang terlewat masuk Dewan dan undi tidak dikira.

Jika ada usul-usul dibawa oleh pihak Kerajaan, pastikan diri berada di dalam Dewan Rakyat untuk hadapi kemungkinan undian belah bahagi dipanggil bagi meluluskan usul.

Sama ada wujud MoU atau tidak, adalah menjadi tanggungjawab utama Ahli-Ahli Dewan Rakyat Blok Kerajaan untuk memastikan Usul-usul Kerajaan diluluskan oleh Parlimen.

Jangan salahkan pembangkang kerana tidak sokong usul. Mereka tidak pernah sokong SOSMA. Mereka tidak pernah bersetuju dengan penahanan suspek selama 28 hari tanpa bicara.

Jangan menaruh harap kepada Pembangkang untuk sokong usul-usul yang dibawa oleh pihak kerajaan. Ahli-Ahli Parlimen pembangkang akan tolak walaupun usulnya adalah kenaikan elaun atau saraan Ahli-Ahli Parlimen sendiri.

Salahkan Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan yang tidak mengundi menyokong usul Kerajaan itu.

Ada orang kata, ramai sengaja tidak hadir kerana nak dijadikan alasan untuk batalkan memorandum persefahaman yang ditandatangani oleh kerajaan (Perdana Menteri) dengan Pakatan Harapan sebab nak bubar Parlimen cepat dan nak segera adakan Pilihan Raya Umum ke-15.

Berikutan kegagalan usul itu diluluskan Parlimen, polis tidak lagi boleh menahan suspek pengganas selama 28 hari untuk siasatan selepas 31 Julai 2022.

SOSMA masih ada. Akta tidak termansuh selepas 31 Julai 2022. Hanya Subseksyen 4(5) SOSMA sahaja terhenti berkuatkuasa.

— Penulis adalah pemerhati politik dan isu-isu semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Rakyat yang mabuk dan taksub tak nampak helah UMNO ni . Dari dulu sampai sekarang mereka licik mencipta alasan untok tipu rakyat

Comments are closed.