Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan panggilan telefon bersama Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Republik Singapura pada 24 Mac 2022.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan panggilan telefon bersama Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Republik Singapura pada 24 Mac 2022.

KUALA LUMPUR – Mulai I April ini, Malaysia dan Singapura akan membenarkan semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan.

Kebenaran ini terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat.

Perkembangan yang ditunggu-tunggu rakyat kedua-dua negara diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas mengadakan panggilan telefon bersama rakan sejawat di negara republik itu, Lee Hsien Loong hari ini.

Menurut beliau, keputusan tersebut melakar satu lagi kejayaan penting dalam memudahcara perjalanan rentas sempadan dengan jiran terdekat, Singapura.

“Pengumuman hari ini mencerminkan hubungan baik, kerjasama pelbagai aspek, dan hubungan kukuh antara rakyat kedua-dua buah negara.

“Ini pastinya akan menyumbang kepada usaha-usaha pemulihan dengan impak positif ke atas ekonomi dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata, Hsien Loong menegaskan bahawa Singapura dan Malaysia menikmati hubungan yang mendalam, mesra dalam pelbagai aspek, serta hubungan antara rakyat yang kukuh.

Katanya, Perdana Menteri Singapura itu juga menyifatkan pengumuman hari ini merupakan peristiwa penting dalam peralihan rakyat ke arah kehidupan dengan Covid-19.

Ia juga mencerminkan kerjasama kukuh yang dinikmati kedua-duaa pihak sepanjang pandemik ini dan akan membantu Malaysia dan Singapura muncul lebih kuat daripada krisis ini, kata Hsien Loong.

Kedua-dua Perdana Menteri juga mengakui bahawa Malaysia dan Singapura telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan khususnya dalam pelaksanaan program vaksinasi dan pengurusan pandemik Covid-19 bagi penduduk negara masing-masing.

Sejajar dengan peralihan kehidupan fasa mendepani pandemik COVID- 19, kedua-dua pemimpin juga bersetuju sudah tiba masanya untuk membuka sempadan darat kedua-dua negara bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi. – MalaysiaGazette