MELAKA – Seorang pembancuh air maut tersangkut antara penghadang besi jalan dan pokok dalam nahas di Jalan Krubong Tampoi, di sini, hari ini.

Mangsa dikenali Firdaus Shah Zainal, 18, maut di lokasi akibat kecederaan parah di badan dan kepala dalam kemalangan kira-kira jam 10.35 pagi itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan menghala ke Jalan Perindustrian Krubong-Tampoi.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggangi mangsa hilang kawalan sebelum terbabas melanggar penghadang besi sebelah kiri jalan.

“Akibatnya, mangsa terpelanting dan tersangkut di antara penghadang besi dan pokok di tepi jalan, sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Firdaus Shah Zainal

Tambahnya, pemeriksaan pegawai penyiasat di lokasi mendapati ketika kejadian cuaca adalah baik.

“Kita percaya kemalangan berlaku disebabkan kegagalan manusia mengawal kenderaan,” katanya sambil menambah mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast