Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Lembaga Peperiksaan (LP) menetapkan 5 April hingga 19 Mei ini untuk Ujian Bertutur, Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Inggeris serta Ujian Amali Sains dan Ujian Bertulis bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 sesi kedua.

Menurut kenyataan KPM, peperiksaan itu dilaksanakan bagi calon yang tidak dapat menduduki semua ujian berkenaan yang diadakan pada 8 Februari hingga 29 Mac ini.

Calon berkenaan adalah mereka yang disahkan positif Covid-19, perlu menjalani tempoh kuarantin seperti diarahkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan yang terkesan akibat banjir atau kes khas yang mendapat kelulusan Pengarah Peperiksaan.

“LP mengingatkan semua calon yang terlibat dengan peperiksaan itu supaya menyemak, mengesahkan dan mencetak Pernyataan Pendaftaran peperiksaan yang mengandungi maklumat pusat peperiksaan ditetapkan, tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan mulai 1 April ini.

“Semua maklumat itu boleh didapati melalui pautan https://elp.moe.gov.my atau aplikasi mobile e-Lembaga Peperiksaan yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store,” kata kenyataan itu kepada media, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, jadual waktu peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung boleh dimuat turun dari portal rasmi LP di http://lp.moe.gov.my juga pada 1 April ini.

Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang dicetak ke pusat peperiksaan.

Calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan pengurusan Pentaksiran Pusat dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan KPM serta SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.

Ketetapan itu adalah bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak Covid-19.

Garius panduan itu boleh dimuat turun dari portal rasmi KPM di https://www.moe.gov.my.

Tarikh peperiksaan adalah Ujian bertutur Bahasa Melayu 5 April 2022, Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (16 April 2022), Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (7 April 2022 – Pagi), Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (7 April 2022 – Petang), Ujian Bertulis (11 April hingga 18 Mei 2022) dan Ujian Amali Sains (19 Mei 2022). – MalaysiaGazette