Jamu Empire meraikan ejen-ejen yang dikenali sebagai ambassador di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Syarikat produk kesihatan jamu tradisional, Jamu Empire Sdn. Bhd. menerusi jenama Jamu Tun Teja (JTT) menyasarkan pendapatannya mampu mencecah kepada RM100 juta dalam tempoh lapan tahun akan datang.

Pengasas JTT, Hazira Azihan Abd. Wahab berkata, keyakinan itu berdasarkan pelan pembangunan syarikat yang dirancang untuk tempoh 10 tahun.

Jelas beliau, sasaran itu turut dibantu dengan rekod pencapaian syarikat yang luar biasa dua tahun sebelum ini apabila berjaya mencatat pertumbuhan perolehan sehingga 1,000 peratus dengan jualan melonjak lebih daripada RM2 juta.

“Syarikat mengunjurkan perolehan jualan bakal mencecah kepada RM100 juta dalam tempoh lapan tahun akan datang.

“Ia mampu direalisasi kerana syarikat kini memiliki 14 produk yang meliputi pelbagai segmen daripada penjagaan kesihatan dan juga kecantikan serta yang terbaharu adalah produk berkaitan aromaterapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis  makan bagi meraikan ejen-ejen yang dikenali sebagai ambassador di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

JTT mula mencetus fenomena pada tahun 2016 dan kini telah terjual lebih dari 1 juta kotak di pasaran

Syarikat Bumiputera itu kini memiliki tiga buah gudang iaitu masing-masing terdapat di Pulau Pinang, Sabah dan Brunei.

Sehingga kini, Jamu Empire mempunyai tiga buah gudang iaitu di Pulau Pinang, Sabah dan Brunei selain jenama HTT memiliki seramai 30,000 pengguna di luar negara termasuk Singapura, Brunei, Australia, United Kingdom, Jerman, Amerika Syarikat dan Arab Saudi.

Hazira Azihan menambah, bagi pengenalan produk baharu aromaterapi, JTT kekal dengan semangat ramuan jamu Melayu tradisional yang telah di turunkan dari generasi ke generasi dan dipengaruhi oleh teknologi moden terkini untuk menghasilkan ramuan yang terbaik.

Justeru kata beliau, produk aromaterapi ini tercetus ketik pandemik dengan niat untuk membantu masyarakat bagi mengurangkan kebimbangan terutama bagi ibu yang mempunyai anak dengan memperkenalkan minyak pati sebagai kandungan utama

“Sebagai perancangan masa depan, kami juga akan mengembangkan bisnes yang lebih besar dan pelbagai dengan memperkenalkan pusat spa yang berkonsepkan klasik tradisional.

“Pusat itu bakal memberi manfaat kepada wanita termasuk rawatan penjagaan wanita selepas bersalin,” katanya. – MalaysiaGazette