MELAKA – Pengusaha hotel di negeri ini diingatkan tidak mengenakan harga yang tinggi bagi bufet Ramadan bermula 3 April ini walaupun berlakunya peningkatan harga barang mentah ketika ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan sentiasa memberi kerjasama bagi memastikan tiada kenaikan harga luar biasa sehingga menyukarkan rakyat.

Menurutnya, beliau memahami kenaikan harga bahan api serta minyak sawit sudah pasti akan menyebabkan peningkatan harga bahan mentah.

“Tapi saya mohon pihak hotel biarlah harga bufet Ramadan itu mampu untuk pengunjung menikmati juadah berbuka puasa dan jangan melihat kepada peningkatan harga.

“Walaupun ia murah sikit tapi dia punya volume (kuantiti) itu bila ramai orang insya-Allah pihak hotel boleh nikmati keuntungan…elok kekalkan harga sebelum ini sebab orang akan cari mana tempat yang harganya berpatutan.

“Menang-menanglah (sama-sama untung) dalam keadaan yang sukar ini,” katanya ketika ditemui media selepas majlis Pelancaran Program Leypark Station/Bazar Aidilfitri Dataran Sejarah Ayer Keroh dan Sembang Santai Bersama Media, di sini, malam tadi.

Semalam, media melaporkan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) menjangkakan harga bufet Ramadan tahun ini naik sehingga 20 peratus disebabkan pelbagai faktor.

Katanya, penetapan harga tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana kos penyediaan perlu mengambil kira keseluruhan aspek kos bahan utama dan tenaga kerja dalam situasi norma baharu.

Antaranya termasuk jika ada hotel yang perlu mengurangkan kapasiti pengunjung bagi memastikan penjarakan sosial walaupun negara akan masuk fasa peralihan endemik bermula 1 April ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast