Bekas pelajar SK Pedas bergambar bersama sebagai kenangan.

NILAI – Melangkah kembali ke sekolah asas di peringkat rendah selepas hampir satu abad meninggalkannya pasti mencetus rasa rindu, pilu dan nostalgia mengenang saat-saat indah bersama rakan-rakan yang pernah duduk bersama sekelas.

Sudah pasti banyak sekali kenangan, ingatan dan kesyahduan yang tiba-tiba sahaja menerpa kerana suasana yang dirasai oleh semua itu sudah berlalu kira-kira 50 tahun yang lampau.

Begitulah yang berlaku apabila kira-kira 30 bekas murid pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pedas, Rembau, Negeri Sembilan kembali bertandang ke alma mater masing-masing pada 27 Mac lalu.

Acara memotong pulut kuning sebagai simbolik perjumpaan alumni SKP 1976.

Ada yang hanya ingat nama rakan-rakan sekelas sahaja, ada yang sudah berubah rupa bentuk fizikal tidak terkecuali masing-masing sudah berjawatan, berpangkat dan ada juga yang sudah bersara wajib daripada perkhidmatan sama ada kerajaan atau swasta.

Sesetengahnya masih berkhidmat sementara menunggu usia persaraan wajib 60 tahun, ada yang berjaya sebagai usahawan, kontraktor, bergelar Datuk, Datin dan segala darjat dan kedudukan sosial yang berlainan, tetapi itu semua hanyalah sebuah perjalanan kehidupan, asam garam yang mendewasakan diri masing-masing.

Hasrat untuk kembali ziarah ke sekolah rendah dizahirkan kerana masing-masing menginsafi itulah pangkalnya mengenali ABC, celik huruf dan kenal ilmu yang berpanjangan jariahnya sampai kini dan masa ke muka.

Tanpa sekolah dan guru-guru, tidaklah kita membesar sebagai insan berilmu dan berkeperibadian.

Inisiatif mencetuskan “Program Sireh Pulang ke Gagang SKP 1976” itu tercetus apabila Ketua Penyelaras, Datuk Yusof Lasim dan sekumpulan bekas pelajar merancang mengadakan pertemuan tersebut untuk bertemu sesama sahabat yang terpisah sejak sekian lama, bertemu dan berbincang dengan guru-guru yang sedang mengajar di sekolah tersebut dan turut mengundang bekas guru-guru yang masih meraikan kenikmatan usia sebagai warga emas.

Kebetulan dua bekas guru yang dikesan mengesahkan kehadiran iaitu Cikgu Latif Majid dan Cikgu Stanley Sreedharan, kedua-duanya sudah menjangkau usia 80an, tetapi masih mampu bergerak dan mengimbas kembali banyak kenangan silam ketika mengajar di SKP tersebut.

Datuk Yusof mnyampaikan cenderahati dan sumbangan tunai kepada Guru Besar SKP, Encik Ramlan.

Cikgu Latif dikenali sebagai seorang guru Matematik yang tegas, manakala Cikgu Stanley seorang guru yang sangat ‘versatile’.

Beliau bukan sahaja mengajar subjek bahasa Inggeris, tetapi juga berbakat sebagai seorang jurulatih sukan sekolah yang hebat seperti bola sepak, bola jaring, acara larian sehinggalah kepada melatih murid-murid dalam acara nasyid dan koir sekolah.

Era 1970an negara ketika itu masih pada tahap membangun, ekonomi luar bandar berpaksikan kepada hasil getah, sawah padi dan pertanian.

Murid-murid ketika itu ke sekolah dengan belanja sekolah maksimum 20 sen sehari, ke sekolah hampir sebatu berjalan kaki, sebahagian ada yang berbasikal, menaiki bas, hanya ada beberapa buah motosikal dipunyai ibubapa dan guru manakala segelintir dalam kalangan guru yang memiliki kereta.

Segala-galanya boleh dikatakan serba sederhana, mudah dan persekitaran sekolah menghijau, segar dan tenang. Bukan sahaja alat-alat teknologi yang ringkas dan mudah malah menyebut kalimat teknologi pun terasa janggal dan pelik.

Meraikan kehadiran bekas pelajar-pelajar SKP tahun 1976 tersebut ialah Guru Besar, Ramlan Ramly dan guru-guru sekolah yang gembira menyambut tetamu di samping Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Encik Mohd Nazil Zainal@Othman.

Dalam ucapan sambutannya, Ramlan berkata, beliau sudah lama menunggu kehadiran alumni sekolah tersebut untuk mengadakan program di sekolah tersebut dan tidak menjangka kumpulan pelajar 1976 merupakan kelompok sulung yang meganjurkan majlis berkenaan.

Beliau gembira kerana masih ada di kalangan bekas pelajar yang tampil bertandang ke sekolah asal mereka sekali gus mencetuskan gelombang baharu untuk mewujudkan rangkaian kerjasama berpanjangan.

Menurutnya, sebagai alumni SKP tentulah boleh memberikan sumbangan untuk bersama-sama memajukan sekolah, khususnya melonjakkan prestasi dan reputasi sekolah.

Sementara itu, Datuk Yusof berkata, inisiatif tersebut digerakkan kerana masing-masing bekas pelajar sudah hampir mencecah usia 60 tahun dan mahu kembali mengenang pelantar ilmu yang pernah mendidik mereka menjadi insan yang berguna sehingga hari ini.

Pada majlis tersebut Datuk Yusof menyampaikan wang tunai hasil kutipan sumbangan alumni berkenaan berjumlah RM6,500 kepada Encik Ramlan dan beberapa buah Kamus Dewan untuk disumbangkan kepada Pusat Sumber SKP.

Datuk Yusof membayangkan pertemuan alumni itu akan dikembangkan melibatkan lebih ramai kumpulan pelajar dari generasi yang berlainan untuk bersatu dan berkolaborasi memajukan SKP, sebuah sekolah di kawasan luar bandar tetapi terus maju, cemerlang dan progresif. – MalaysiaGazette

Mohd. Shah Abdullah, bekas pelajar SKP tahun 1976 kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan dan Ketua Jabatan Komunikasi, Manipal International University (MIU), Nilai, negeri Sembilan.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast