KUALA LUMPUR – Penerima Anugerah Usahawan Korporat sempena Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 menawarkan 1,300 peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini yang berminat.
Pengarah Urusan Satar Empire Sdn Bhd, Datuk Seri Abdull Star Khan Amirullah Khan berkata, tawaran itu salah satu usaha pihaknya membantu menaikkan taraf hidup rakyat.
Beliau yang terlibat hampir 31 tahun dalam bidang industri pembinaan memberitahu, penawaran peluang pekerjaan itu melibatkan beberapa perniagaan yang diusahakannya termasuk bidang pertanian.

“Saya mahu anak Melayu berjaya kerana orang muda perlu bekerja keras untuk lebih berjaya dalam hidup. Ia seperti konsep tanam pokok rambutan, hasilnya lagi lima tahun lagi dan bukannya dalam masa semalam.
“Jadi, saya harap anugerah diberikan itu juga akan menjadi inspirasi buat anak muda untuk terus berjaya dalam kehidupan,” katanya ketika ditemui selepas majlis HUN 2022 di sini malam ini.
Selain anugerah diterimanya, HUN 2022 juga telah memilih penerima Anugerah Usahawan Muda, Anugerah Ikon Usahawan Terbaik serta anugerah khas diberikan kepada usahawan berjaya menunjukkan prestasi keusahawanan cemerlang.
Terdahulu, Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM), Datuk Seri Abu Hasan Mohd. Nor berkata, keempat-empat usahawan itu diberikan anugerah khas sempena penganjuran HUN 2022 sebagai medium pengiktirafan kepada mereka atas pencapain dalam perniagaan masing-masing.

“Pemberian Anugerah Khas HUN 2022 kepada empat usahawan itu merupakan satu inisiatif terbaik untuk memangkin kecemerlangan mereka secara berterusan pada masa akan datang.
“Mereka dipilih atas penilaian daripada DPUKM sebagai penganjur selain turut disokong oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pimpinan Tan Sri Noh Omar,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan dan Anugerah HUN 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam ini.- MalaysiaGazette