Forest City di Iskandar Puteri menjadi lokasi pertama di Malaysia dengan menawarkan kadar cukai sifar peratus untuk SFO.

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 32 syarikat menunjukkan minat untuk membuka operasi perniagaan di Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, daripada jumlah itu, 19 syarikat berasal dari Malaysia, Singapura dan Thailand berminat mewujudkan pejabat keluarga.

Menurutnya, dua lagi syarikat sudah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melibatkan CMY Capital dan Yow Kee Family Office,  sekali gus menjadikan mereka kumpulan pertama yang membuka pejabat keluarga yang akan beroperasi di SFZ Forest City.

“Pembukaan kedua-dua syarikat itu akan mewujudkan kesan dengan jangkaan lebih banyak pejabat keluarga dan institusi kewangan akan turut serta dalam memulakan operasi mereka di Forest City pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pencapaian itu merupakan satu langkah besar Forest City dalam usahanya menjadi sebuah hab kewangan serantau.

Katanya, beberapa insentif berhubung penubuhan SFZ yang baharu sudah pun diumumkan termasuk kadar cukai pejabat keluarga tidak kenakan sebarang cukai manakala kadar cukai korporat hanya kosong sehingga lima peritus.

Sementara kadar cukai pendapatan pula katanya, dikenakan purata 15 peratus untuk pekerja berkemahiran tinggi.

“Kementerian Kewangan sedang memuktamadkan pakej insentif ini yang dijangka dikuatkuasakan tidak lama lagi. Dalam tempoh itu, permohonan diterima akan diproses satu persatu bagi mempercepat kelulusan sekali gus menarik lebih banyak pelaburan ke SFZ,” ujarnya.

Jelasnya, sebagai sebahagian inisiatif SFZ dan di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kerajaan giat menjalin hubungan dengan pelabur berpotensi bagi memahami keperluan dan keutamaan pelaburan mereka secara lebih baik.

Tambahnya, kerajaan juga terbuka menawarkan insentif yang direka khusus untuk pelaburan utama berdasarkan keperluan tertentu diperlukan mereka.

Bagi memastikan peralihan pelaburan yang lancar, beliau berkata, Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) ditubuhkan sebagai pusat sehenti untuk pelabur.

Pada masa ini tambahnya, pelabur hanya perlu ke pusat tersebut dan pengurus akaun ditugaskan untuk meneliti fail dan profil sesuatu pelaburan.

“Bidang tugas pengurus akaun ini untuk membantu memudahkan urusan antara pelabur dan pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan Persekutuan serta syarikat utiliti,” katanya.

Tambah beliau, sejak Januari lalu hingga kini, pejabat IMFC-J sudah menerima lebih daripada 250 pertanyaan daripada pelabur yang berminat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast