PrintIM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan keperluan untuk memudah cara dan mempercepat kemasukan barangan eksport Malaysia ke pasaran India semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Jelas beliau, ia bagi membuka ruang lebih luas kepada syarikat Malaysia memanfaatkan potensi pasaran India yang besar dan berkembang pesat.

“Bicara kami memberi tumpuan kepada usaha memperluas kerjasama dalam sektor strategik, khususnya industri semikonduktor,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Tambah beliau, Malaysia dan India memiliki kekuatan yang saling melengkapi dan boleh digembleng melalui kerjasama industri, integrasi rantaian bekalan, pembangunan bakat serta pelaburan dua hala.

“Alhamdulillah, kami sepakat untuk meneruskan momentum hubungan erat Malaysia-India serta memperteguh persahabatan yang berakar daripada sejarah panjang dan hubungan akrab antara rakyat kedua-dua negara,” katanya lagi.

Dalam hantaran berbeza, Anwar turut mengadakan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali.

Beliau juga menzahirkan penghargaan atas dukungan Ethiopia terhadap penglibatan Malaysia dalam BRICS.

Menurut Anwar, kedua-duanya juga sepakat untuk mengadakan Rundingan Dua Hala yang pertama di Kuala Lumpur tahun hadapan bagi menterjemahkan persetujuan kedua-dua negara kepada tindakan yang nyata.

Katanya, potensi kerjasama tersebut antaranya merangkumi industri halal, pertanian, keterjaminan makanan, farmaseutikal, perkhidmatan digital, tenaga boleh baharu dan pelancongan.

“Hubungan peribadi kami dan persahabatan kedua-dua negara telah mencatat momentum positif susulan kunjungan beliau ke Malaysia pada 2024 dan lawatan balas saya ke Ethiopia pada tahun lalu,” katanya.

Tambahnya, pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa pada September tahun lalu setelah 43 tahun telah menandakan lembaran baharu dalam hubungan kedua-dua negara.

Anwar turut mengundang Ethiopia untuk membuka kedutaannya di Kuala Lumpur. -MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here