KUALA LUMPUR – UMNO mesti berubah dan perlu mempunyai pilihan yang jelas menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, UMNO bukan berubah meninggalkan perjuangannya tetapi berubah supaya perjuangannya terus hidup.
Tegas beliau, UMNO juga bukan berubah memutuskan akar tetapi berubah supaya pohon perjuangan terus tumbuh, semakin kukuh dan memberi teduh kepada rakyat.
“Marilah kita rapatkan saf, kita kukuhkan Rumah Bangsa dan gerakkan Gelombang Biru dan insya-Allah, UMNO akan bangkit.
“Bukan sekadar untuk kembali berkuasa tetapi untuk kembali berbakti, memimpin dan memperjuangkan masa depan rakyat dan negara,” katanya ketika sesi penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Wan Rosdy menambah, UMNO sedar bahawa cabaran PRU16 berbeza di setiap negeri dan kawasan malah pengundi juga akan membuat pertimbangan mengikut kehendak mereka
“Sebab itu kita perlu mengambil serius peringatan Datu Seri Presiden bahawa, kejatuhan tidak bermula ketika kita kalah. Sebaliknya, ia bermula apabila kita terlalu yakin yang kita tidak akan pernah kalah.
“Maka tugas kita bukan sekadar mengulang kejayaan tetapi membina keyakinan baharu dengan prestasi yang boleh dilihat, inisiatif yang boleh dirasa, bantuan yang sampai kepada jiwa rakyat, dan khidmat yang tidak pernah putus,” katanya. – MalaysiaGazette
















