Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin bercakap kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di WTC, Kuala Lumpur pada Sabtu

KUALA LUMPUR – UMNO Selangor tidak menolak kemungkinan meneroka kerjasama politik dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), termasuk dalam rundingan pembahagian kerusi jika ia mampu memberikan kelebihan kepada parti serta menawarkan kestabilan lebih baik kepada rakyat.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, pendekatan itu selari dengan gagasan Tafahum Siasi yang diketengahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, termasuk usaha membina persefahaman politik dengan parti lain menjelang PRU16.

Menurutnya, UMNO perlu bersikap realistik terhadap dinamika politik semasa kerana strategi yang sesuai di sesebuah negeri tidak semestinya boleh diterapkan secara sama di negeri lain.

“Di Johor kita buat keputusan untuk bergerak solo dan akhirnya menang besar. Di Negeri Sembilan pula kita menerokai kerjasama dengan Pas dan rakan-rakan mereka sehingga membentuk kerajaan.

“Di Selangor juga begitu. Kita perlu menginsafi keputusan pilihan raya yang lalu dan melihat semula peluang yang ada.

“Tidak mustahil untuk kita merangka dan menerokai kerjasama dengan Pas,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini, hari ini.

Imran berkata, bagi UMNO Selangor, faktor paling penting bukan semata-mata siapa menjadi rakan politik, sebaliknya sama ada sesuatu kerjasama itu mampu memberikan leverage politik, kemenangan pilihan raya dan kestabilan pentadbiran.

“Yang paling penting, kerjasama itu akan membuahkan hasil dan akhirnya mencipta kestabilan yang boleh memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Imran secara terbuka mempersoalkan tahap keikhlasan kerjasama UMNO dalam kerajaan negeri Selangor yang terbentuk atas semangat Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.

“Terdapat beberapa keputusan penting di Selangor yang dibuat tanpa penglibatan menyeluruh UMNO, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada parti itu benar-benar dianggap sebagai rakan dalam pentadbiran negeri,” katanya.

Katanya, keadaan itu termasuk ketiadaan mekanisme perundingan rasmi antara UMNO-Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Selangor seperti yang wujud di peringkat Persekutuan.

“Di peringkat negeri tidak ada sekretariat perpaduan antara dua parti seperti di peringkat nasional. Itu menjadi isu apabila timbul perkara dasar yang menyentuh kepentingan orang Melayu.

“Sebagai contoh isu berkaitan penternakan babi, UMNO seolah-olah caught in the dark. Kita pun tidak tahu-menahu dan akhirnya isu itu menjadi kritikal sehingga melibatkan kepentingan dan kedaulatan institusi Raja Selangor.

“Situasi berkenaan menyukarkan UMNO untuk memberikan penjelasan atau mempertahankan sesuatu keputusan apabila parti tidak dilibatkan dalam proses membuat keputusan sejak awal,” katanya.

Selain itu, Imran turut membangkitkan isu pengagihan peranan UMNO dalam pentadbiran tempatan Selangor yang didakwanya tidak menggambarkan kedudukan parti sebagai sebahagian daripada kerajaan.

Katanya, dari 288 jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan, UMNO hanya diberikan sekitar 17 hingga 20 kedudukan.

“Ini seolah-olah mengecilkan dan menidakkan peranan UMNO dalam kerajaan.

“Kita mempunyai ekosistem dan komposisi parti yang boleh sama-sama mengangkat dan mentadbir negeri,” katanya.

Beliau turut mendakwa UMNO sebelum ini hanya ditawarkan sekitar 30 jawatan ketua kampung dari lebih 300 kampung tradisi di Selangor.

“Perkara itu perlu dinilai semula sekiranya semangat Kerajaan Perpaduan benar-benar mahu diterjemahkan di peringkat negeri,” katanya.

Sementara itu, Imran berkata, keputusan PRN Selangor 2023 juga perlu menjadi asas kepada UMNO dalam menentukan strategi menghadapi pilihan raya akan datang.

“UMNO bertanding di 12 kerusi pada PRN lalu tetapi hanya menang dua, iaitu Sungai Air Tawar dan Dusun Tua.

“Pada 2018 kita bertanding di semua kerusi dan menang empat, kemudian menang satu lagi melalui pilihan raya kecil menjadikan lima.

“Jadi untuk PRU16 atau PRN akan datang, tidak mustahil kita menerokai peluang kerjasama dengan PAS sekiranya ia memberikan kelebihan kepada UMNO,” katanya.

Beliau berkata, rekod kerjasama politik UMNO dan Pas di beberapa kawasan Selangor juga bukan perkara baharu kerana kedua-dua parti pernah membuat penyelarasan politik di kawasan Sungai Kandis dan Seri Setia sebelum kerjasama lebih tersusun diterjemahkan di Semenyih.

“Kerjasama itu sudah bermula lama. Kita tidak pernah bersengketa walaupun berlaku perubahan dinamik politik di peringkat Persekutuan dan negeri.

“Apabila kita melihat semula dan memperhalusinya, saya fikir mudah untuk kita berbincang dan bekerjasama,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Imran menegaskan, penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan tidak bermakna parti itu terikat untuk memasuki PRU16 bersama parti-parti lain dalam kerajaan.

“Kerajaan Perpaduan tidak mengikat UMNO, PKR atau mana-mana parti untuk sama-sama masuk PRU16.

“Setiap parti ada identitinya tersendiri. Oleh itu, UMNO kena mengekalkan identiti UMNO di mana juga UMNO berada, khususnya dalam Kerajaan Perpaduan hari ini dan ketika menerokai peluang kerjasama untuk PRU16,” katanya.

Beliau berkata, pendirian itu penting kerana UMNO perlu memastikan akar umbi dan rakyat memahami apakah identiti, perjuangan serta tawaran parti menjelang pilihan raya akan datang.

Dalam masa sama, Imran menegaskan UMNO tidak bercadang menjatuhkan Kerajaan Perpaduan di pertengahan penggal walaupun terdapat perkara yang dianggap menekan atau tidak memuaskan hati parti.

“Kita berpendirian dari awal tidak akan berlaku tebuk atap. Walaupun kita tidak bersetuju atau ada perkara yang mungkin menekan kita, kita tidak akan menjatuhkan kerajaan ini dan membina kerajaan baharu dalam penggal sama.

“Pilihan yang ada ialah menyerahkan semula pilihan kepada rakyat melalui mandat pilihan raya yang baharu,” katanya.

Menyentuh mengenai isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Imran berkata UMNO Selangor menghormati prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam perkara pengampunan.

Katanya, keputusan Lembaga Pengampunan terhadap beberapa permohonan telah dibuat, manakala perkara berkaitan Najib ditangguhkan.

“Kita hormat proses itu. Namun kita harap tidak ada kacau-ganggu daripada mana-mana pihak, sama ada rakan kerjasama atau sesiapa sahaja, dalam usaha kita terus memperjuangkan keadilan Datuk Seri Najib melalui lunas dan proses undang-undang.

“Kita faham ia ditangguhkan dan kita berdoa serta terus berkhidmat supaya apabila sampai masa dan ketikanya yang diperkenankan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Ia akan memberikan keputusan yang baik dan positif untuk Datuk Seri Najib, keluarga dan UMNO,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here