KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan Program Jelajah Simpan SSPN pada tahun ini demi membantu pelajar asnaf daripada aspek pendidikan.
Dalam masa sama, program yang telah dimulakan pada 2019 itu adalah sebagai galakan awal untuk memulakan penabungan bagi tujuan melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi untuk golongan tersebut.
Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, program berkenaan akan memberi manfaat kepada masyarakat dan membantu golongan yang memerlukan.
“Inilah bukti usaha PTPTN yang sentiasa komited dan prihatin untuk membantu dan menyokong masyarakat dalam memartabatkan pendidikan,” katanya ketika merasmikan program berkenaan bagi Kawasan Langkawi di Aseania Resort & Spa Langkawi, Kedah.
Menurut Wan Saiful, seramai 3,000 pelajar asnaf dari 30 kawasan terpilih di beberapa negeri diberikan kemudahan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime dengan setiap orang diberi RM100.
Di negeri Kedah sahaja, program berkenaan melibatkan 16 kawasan dan kawasan Langkawi merupakan salah satu lokasi program tersebut.
Katanya Wan Saiful, pada masa sama program itu akan dapat mendekatkan PTPTN dengan masyarakat bagi membentuk kesedaran penabungan melalui Simpan SSPN untuk menjamin masa depan generasi muda.
“Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa cakna dalam membantu masyarakat terutamanya golongan asnaf melalui program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjurkan.
“PTPTN menjadikan Simpan SSPN sebagai platform terbaik untuk menggalakkan ibu bapa memulakan simpanan agar anak-anak tidak tercicir dari mendapat akses pendidikan tinggi disebabkan masalah kewangan,” tambah beliau.
Wan Saiful menyeru agar penabungan melalui Simpan SSPN dijadikan pilihan utama bagi pemberian insentif/ hadiah kecemerlangan atau kokurikulum kepada pelajar.
Katanya lagi, PTPTN juga mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai agensi lain untuk sama-sama membudayakan amalan penabungan dan menyokong usaha PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara. – MalaysiaGazette