MELAKA – Kerajaan negeri telah mengarahkan agensi berkaitan mengemukakan laporan lengkap punca penemuan ribuan bangkai ikan yang terdampar di sepanjang kira-kira tiga kilometer pantai peranginan, Pengkalan Balak, pada petang semalam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, setakat malam tadi, beliau masih belum mendapat perincian lanjut berkaitan kejadian terbabit dan meminta agensi berkaitan segera melaporkan kepadanya.

“Saya difahamkan kononnya ada tumpahan belerang di situ, jadi dulu pun sebelum ini waktu di Tanjung Kling ada juga tumpahan tapi tak ada pun ikan mati.

“Tapi kalau ini itulah (pencemaran belerang) jadi alasan dan penyebabnya, saya nak tahu jugalah. Datuk SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Zaidi Johari) akan dapatkan laporan daripada pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Pelancaran Program Leypark Station/Bazar Aidilfitri Dataran Sejarah Ayer Keroh dan Sembang Santai Bersama Media, di sini, malam tadi.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan penduduk dan pengunjung pantai di peranginan tumpuan pelancong itu gempar susulan penemuan ribuan bangkai ikan yang terdampar di sepanjang kira-kira tiga kilometer pesisiran pantai bermula di Telok Gong dan Sungai Tuang .

Tinjauan sekitar jam 6 petang mendapati ribuan ikan jenis tamban dan selangat memenuhi pesisiran pantai, sekali gus menimbulkan bau busuk di kawasan berkenaan.

Komuniti nelayan juga mengakui kejadian pelik itu yang hanya membunuh ikan tamban dan selangat yang didakwa berpunca daripada pencemaran belerang dan ia adalah kali pertama berlaku di kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast