Mayat mangsa meninggal dunia tergelincir dalam sungai dihantar ke Hospital Kulim untuk proses bedah siasat hari ini.

BALING – Seorang warga emas ditemui mati lemas selepas dipercayai tergelincir dalam sungai di belakang rumahnya di Kampung Bawah Gunung di sini hari ini.

Mangsa, Puteh Yeop, 87, dilaporkan terjatuh pada pukul 2.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, hasil siasatan mendapati isteri mangsa pada mulanya menyedari suaminya tiada di atas katil.

“Susulan itu, wanita berkenaan dan anaknya mencari mangsa di kawasan persekitaran rumah bersama jiran namun tidak menjumpainya sebelum mendapati pintu belakang rumah berhampiran bilik air terbuka.

“Mereka kemudian mendapati berhampiran lereng sungai terdapat kesan tergelincir dan jarak pintu belakang rumah ke sungai itu cuma 4.5 meter,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Shamsudin, keluarga mangsa menjelaskan, lelaki tersebut mengalami penglihatan kabur, pergerakan terhad dan mempunyai gejala nyanyuk.

“Hasil operasi mencari dan menyelamat pasukan bomba menjumpai mangsa pada pukul 11.20 pagi kira-kira 1.3 kilometer dari tempat dia dilaporkan tergelincir.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim,” ujar beliau. – MalaysiaGazette