Ikmal Hisham Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan menyambut baik penyertaan menggalakkan masyarakat awam berbilang kaum dalam pasukan sukarelawan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, rekod menunjukkan penyertaan mereka semakin meningkat, sekali gus menyaksikan tahap kesedaran dan keyakinan tinggi terhadap konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) dalam membantu benteng pertahanan negara.

Kata beliau, terdapat tiga pasukan yang melibatkan penyertaan masyarakat awam dalam pasukan sukarelawan ATM iaitu Rejimen Askar Wataniah (AW), Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).

“Kewujudan angkatan sukarela ATM dalam masyarakat dapat menyemaikan nilai murni ATM dalam jiwa rakyat, sekali gus mengeratkan lagi hubungan awam-tentera.

“Angkatan sukarela ATM juga merupakan platform yang kondusif untuk menyemai semangat patriotisme dalam kalangan belia dan beliawanis,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Menurut Ikmal Hisham, bagi mempromosikan angkatan sukarela ATM, Markas Pasukan Simpanan bagi tiga perkhidmatan itu akan melaksanakan program promosi ‘turun padang’ pasca endemik di seluruh negara.

Jelas beliau, promosi itu dibuat melalui pasukan atau unit mengikut Zon dan Kawasan Tanggungjawab (KTJ) di setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Kementerian Pertahanan juga, katanya, telah menggariskan komitmen dan keutamaan kerajaan dalam merangka strategi jangka panjang bagi meningkatkan penglibatan rakyat dalam pertahanan negara melalui Kertas Putih Pertahanan (KPP), Pelan Strategik MinDef 2021-2025 dan Sistem Pengurusan Strategik ATM (SPS ATM).

“Kerajaan juga komited untuk terus meningkatkan sokongan dan komitmen majikan serta orang ramai terhadap tanggungjawab dan peranan bagi meningkatkan semangat patriotisme serta penyertaan pelbagai bangsa dalam pasukan ini melalui penguatkuasaan dan kesedaran terhadap Akta Angkatan Tentera 1972 (Akta 1972),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast