KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON97 naik lapan sen seliter daripada RM3.83 kepada RM3.91 bagi tempoh seminggu, bermula esok hingga 6 April.
Kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) hari ini menyatakan harga runcit petrol RON95 dan diesel kekal, masing-masing pada RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter bagi tempoh yang sama.
Harga tersebut berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
MOF memaklumkan kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia, serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. – Bernama