KUALA LUMPUR – Anugerah Malaysia Top Achievers 2022 kembali memberi penghormatan kepada setiap individu dan organisasi yang berjaya membawa ekonomi, kesihatan dan pembangunan negara ke tahap lebih tinggi pada 31 Mac lalu.
Anugerah itu merupakan usaha sama antara Leaders Online dan juga My Events International Sdn Bhd yang tidak asing lagi dalam kalangan pelbagai pemain industri di negara ini.
Kali ini sebanyak 28 kategori diperkenalkan.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, pengerusi penganjurnya, Hema Kandy teruja melihat begitu ramai wajah-wajah baharu dan lama yang tampil menerima pengiktirafan.
“Sememangnya malam itu sungguh berprestij sekali. Saya bangga untuk melihat wajah-wajah ini yang juga di sebalik sebuah organisasi cukup gah dan berjaya.
“Terus terang saya cakap, semua yang hadir bukanlah menikmati kejayaan ini dengan begitu mudah sebaliknya pelbagai cabaran, pancaroba serta ujian malah detik-detik hitam yang terpaksa mereka lalui sebelum sampai ke tahap ini, untuk melihat mereka tersenyum sambil menceritakan kejayaan mereka.
“Misi dan visi serta perancangan cukup rapi menggunakan pelbagai kemahiran dan kebijaksanaan mereka itu jugalah yang telah memberikan kejayaan ini kepada mereka. Kami di Leaders Online dan juga My Events International sebenarnya jauh lebih berbangga kerana berpeluang memberikan anugerah ini,” katanya hari ini.
Sebanyak 28 kategori disediakan termasuk Icon of The Year, Masterclass Woman Achiever of The Year dan Entrepreneur of The Year.
“Kepada semua yang diiktiraf ini, kami amat berharap anugerah Malaysia Top Achievers 2022 ini menjadi pembakar semangat untuk memastikan lebih banyak kejayaan luar biasa dari anda selepas ini,” katanya lagi.
Malaysia Top Achievers 2022 telah menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad.
Beberapa nama terkenal yang mendapat pengiktirafan termasuk Hospital Sungai Buloh, Universiti Limkokwing, Sky Blue Media, Malik Streams Corporation, Light Hotel, Ritz Carlton, Andorra Women & Children Hospital, Pharmaniaga Berhad, Kenaf Venture Global, Mahsa University, Widad Group, Bank Rakyat, Institut Jantung Negara, Perkeso dan banyak lagi. – MalaysiaGazette