Ong Kim Swee.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan persiapan yang dilakukan di Kuala Lumpur akan membantu anak buahnya bersedia dengan lebih baik bagi perlawanan Liga Super berdepan Melaka United FC pada Selasa depan.

Sabah ketika ini berada di Kuala Lumpur selama satu minggu bagi melakukan persiapan rapi menerusi perlawanan persahabatan menjelang aksi di Stadium Hang Jebat minggu hadapan.

Jelasnya, pasukan mengambil serius perlawanan akan datang bagi memastikan mereka tidak lagi tercicir apabila baru sahaja menang satu daripada dua perlawanan setakat ini.

Namun, berdepan Melaka di tempat lawan kali ini dijangka bukan mudah memandangkan skuad kendalian Risto Vidakovic juga masih memburu kemenangan pertama mereka selepas seri dan tewas dalam dua perlawanan terdahulu.

“Kami di Kuala Lumpur bagi mendapatkan perlawanan persahabatan di sini sebab kalau di Sabah, kita kekurangan pasukan untuk lawan dengan Sabah dan sebab itu kami datang ke sini lebih awal bagi menghadapi persiapan.

“Paling penting adalah aksi menentang Melaka sebab kita tahu mereka hanya mendapat satu mata setakat ini dan ini akan beri kita cabaran di mana mereka pastinya ingin memperbaiki kelemahan sepertimana kita sendiri sebab Sabah juga baru menang satu perlawanan.

“Jadi, saya kena pastikan pasukan akan sentiasa berada di tahap terbaik sebelum mereka akan berdepan dengan perlawanan keempat, kelima dan seterusnya nanti,” jelasnya.

Memandangkan Liga Malaysia akan berlangsung dalam bulan Ramadan bermula minggu hadapan, Kim Swee mahu semua pemain menitikberatkan aspek pemakanan dengan lebih serius bagi menjaga tahap kecergasan ketika berpuasa.

Dengan perubahan waktu sepak mula pada bulan Ramadan, beliau percaya anak buahnya tiada masalah untuk menyesuaikan diri bagi memastikan pasukan tetap konsisten menghadapi perlawanan.

“Banyak aspek yang perlu kita fikirkan bukan sahaja dari segi waktu sepak mula tetapi aspek pemakanan di mana banyak yang perlu pemain ambil serius.

“Kita tahu puasa hanya untuk Muslim, tetapi pada masa sama ada pemain yang tidak berpuasa seperti pemain import, jadi sudah pasti waktu pemakanan mereka akan berbeza.

“Dan apa yang pemain makan itu adalah satu faktor paling penting sebab apabila kita beraksi jam 10 malam, berbuka pukul 7.30 malam, jurang waktu dua jam setengah itu mereka tidak boleh makan makanan yang terlalu berat sebab ia akan beri impak yang berbeza.

“Tetapi, saya tidak perlu fikir perkara negatif mengenai situasi ini sebab semua pasukan pun akan bermain pada waktu yang sama, jadi pemain-pemain hanya perlu menyesuaikan dengan perkara yang telah ditetapkan ini”, tambahnya.

Sabah sebelum ini tewas dalam perlawanan pertama Liga Super kepada Negeri Sembilan dengan keputusan 0-1 sebelum menang 3-1 ke atas PJ City FC dalam aksi kedua pada 9 Mac lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast