MELAKA – Seorang anggota tentera maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Kampung Paku, Alor Gajah, di sini petang tadi.

Mangsa dikenali Haidir Idris, 23, dari Kampung Berembang Batu 3 1/2 Jalan Ampang, Ampang, Selangor disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, siasatan mendapati ketika kejadian jam 2.50 petang itu mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC datang dari arah Alor Gajah menuju ke Masjid Tanah.

“Bagaimanapun sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah Proton Saga dipandu seorang wanita berusia 31 tahun dari arah Lendu menghala ke Alor Gajah.

“Terdapat kesan darah di atas permukaan jalan, kesan calar, kesan pecahan di antara dua lorong dan kesan brek motosilal sejauh 4.6 meter.

“Akibatnya, mangsa yang bertugas di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Sungai Udang, disahkan meninggal dunia kesan kecederaan di kepala dan mayat dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Amran@Mohamad Zaki Omar

Mohamad Zaki berkata, pemandu kereta yang juga suri rumah tidak mengalami sebarang kecederaan dan diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk membuat laporan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast