Peralatan mesin yang digunakan suspek untuk melakukan penipuan. Gambar Ihsan IPKKL

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar Tingkatan Lima merupakan antara dua individu yang diberkas polis kerana disyaki terlibat dalam sindiket jenayah penipuan lesen memandu dalam talian.

Mereka menjadikan sebuah kediaman di taman perumahan di Melaka sebagai markas aktiviti haram itu bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

Timbalan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Superintenden Mohamad Musa Marsidi berkata, kedua-dua suspek yang dicekup dalam sebuah yang dilakukan di Durian Tunggal, Melaka pada jam 10.05 malam Sabtu lalu itu berumur 17 dan 22 tahun.

Kata beliau, pihaknya menerima laporan daripada seorang individu yang mendakwa mahu mendapatkan lesen memandu dengan cara mudah tanpa melalui proses Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) menjadi mangsa sindiket berkenaan dengan mengalami kerugian sebanyak RM490 pada Selasa lalu.

“Mangsa sebelum itu telah melayari iklan di laman sosial Facebook yang menawarkan perkhidmatan membuat lesen memandu tanpa melalui proses yang sah.

“Mangsa yang terpedaya dengan iklan di Facebook itu kemudian menghubungi nombor yang tertera melalui aplikasi WhatsApp, dalam urusan tersebut mangsa telah dijanjikan lesen memandu dengan bayaran RM490.

“Bagaimanapun, setelah bayaran RM490 dibuat seperti dikehendaki sindiket itu, suspek masih meminta bayaran tambahan daripada mangsa dengan memberikan pelbagai alasan sebelum mangsa curiga dengan tindakan suspek dan kemudiannya tampil membuat laporan polis selepas menyedari dirinya ditipu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, bertindak atas aduan dan maklumat yang diperoleh daripada mangsa, sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur serta Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Kuala Lumpur melakukan serbuan pada malam Sabtu lalu.

Katanya, hasil serbuan membawa kepada rampasan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses lesen memandu palsu

Mohamad Musa berkata, kedua-dua suspek direman selama tiga hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette