KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengarahkan pasukan penguat kuasanya melakukan siasatan dan pemantauan lebih agresif serta ketat tindakan kenderaan asing menyalah guna petrol RON 95.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan tegas boleh diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang.
“Saya telah mengarahkan pasukan penguatkuasa KPDNHEP untuk melakukan siasatan dan pemantauan dengan lebih agresif dan ketat.
“Tindakan tegas boleh diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang,” katanya menerusi ciapan Twitternya hari ini.
Beliau memberi respon itu berdasarkan laporan media yang mendedahkan sikap sesetengah warga Singapura yang tidak bertanggungjawab mengisi minyak RON 95 di sebuah stesen minyak dekat Johor Bahru baru-baru ini.
Larangan penjualan petrol RON 95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran negara asing sudah dilaksanakan sejak 1 Ogos 2010.
Sementara itu, KPDNHEP Johor akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik stesen minyak yang gagal memantau penyalahgunaan RON95 mengikut undang-undang.
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat termasuk gambar serta lokasi stesen minyak jika mereka terlihat kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi petrol RON 95. – MalaysiaGazette